2 PELAJAR UNISSA BERLEPAS MENGIKUTI KURSUS INTENSIF BAHASA ARAB DI SULTAN QABOOS COLLEGE, OMAN.
————————————————————————————————————————————-
Bandar Seri Begawan, 11 Januari – Dua (2) orang pelajar Sarjana Muda Bahasa Arab dan Terjemahan daripada Fakulti Bahasa Arab (FBA), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), iaitu Aiman Abadiyah binti Haji Sopian dan Filzah Afiqah binti Chuchu telah berlepas ke Kesultanan Oman untuk mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab di Sultan Qaboos College for Teaching Arabic to Non-Native Speakers selama 8 minggu mulai 11 Januari 2024 dan dijangka kembali ke tanah air pada 10 Mac 2024.
Penghantaran kedua pelajar ini antara lain bertujuan untuk memenuhi tawaran dari Kesultanan Oman dengan harapan memperkembangkan hubungan dan kerjasama antara kedua belah pihak. Dengan adanya kerjasama ini, pelajar dapat memanfaatkan peluang yang ada dalam meningkatkan mutu kemahiran dan keyakinan berbahasa Arab di persekitaran sebenar. Ia juga bertujuan untuk membimbing pelajar melangkah keluar dari zon selesa (comfort zone) mereka disamping meningkatkan keyakinan diri untuk hidup berdikari di luar negara.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar ialah Dekan FBA, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah beserta dengan pensyarah serta pegawai Fakulti Bahasa Arab.
Pihak FBA sangat berbangga dengan pencapaian kedua-dua pelajar berkenaan dan berharap pengalaman yang bakal mereka perolehi di Oman dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya agar menjadikan mereka sebagai individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.