RETREAT FAKULTI BAHASA ARAB
1. FAKULTI BAHASA ARAB UNISSA ANJUR PROGRAM RETREAT AKADEMIK DI RADISSON HOTEL (2025)
Bandar Seri Begawan, 22 September 2025 – Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menganjurkan Program Retreat Akademik yang berlangsung di Radisson Hotel, bertujuan memperkukuh perancangan strategik fakulti serta meningkatkan keberkesanan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang bahasa Arab.
Program ini menghimpunkan seluruh tenaga akademik dan pentadbiran fakulti untuk bersama-sama menilai pencapaian semasa, merangka hala tuju masa depan serta memperkukuh budaya kerja berpasukan yang selaras dengan visi UNISSA sebagai universiti Islam bertaraf antarabangsa.
Dalam ucapan perasmian, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah, Dekan Fakulti Bahasa Arab menekankan bahawa program retreat ini penting bagi memastikan fakulti terus relevan dalam melahirkan graduan yang berkompetensi tinggi dalam bahasa Arab, selain menyumbang kepada perkembangan ilmu dan dakwah Islam di peringkat nasional dan global.
Antara pengisian utama program termasuk sesi pembentangan pelan strategik, bengkel pembangunan kurikulum, perbincangan penyelidikan serta aktiviti pengukuhan pasukan (team-building). Melalui platform ini, fakulti berhasrat untuk memantapkan mutu akademik, meningkatkan penerbitan ilmiah, serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara.
Program ini juga menjadi wadah penting untuk memperkukuh ukhuwah antara warga fakulti serta memberi ruang kepada tenaga akademik dan pentadbiran berbincang secara lebih terbuka mengenai cabaran dan peluang dalam bidang pendidikan bahasa Arab.
Selaras dengan Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), Wawasan Brunei 2035, serta Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG), Fakulti Bahasa Arab UNISSA beriltizam untuk terus melahirkan modal insan yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing, serta mampu menyumbang ke arah pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat.


————–
2.RETREAT FAKULTI BAHASA ARAB, RADISSON HOTEL, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
5 Mac 2022 jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang





