PROGRAM AMAL “YADAN BI YADIN”, FAKULTI BAHASA ARAB (20 APRIL 2022)
ALHAMDULILLAH, 20 April 2022, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Badan Pelajar, Fakulti Bahasa Arab telah mengadakan program amal ‘Yadan Bi Yadin’ (saling bantu membantu/ hand in hand) kali ketiga bersempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak 1443H.
Bagi tahun ini, Badan Pelajar Fakulti Bahasa Arab, UNISSA mengajurkan kutipan sumbangan barangan makanan asasi yang dibukakan kepada warga UNISSA yang berjalan selama seminggu. Acara kemuncak program ini adalah pengagihan sumbangan ke rumah para penerima yang dilaksanakan pada hari Rabu, 20 April 2022M bersamaan 18 Ramadhan 1443H.
Seramai 10 keluarga yang terdiri dari golongan yang memerlukan di kawasan Mukim Pengkalan Batu telah menerima sumbangan tersebut. Rimbongan tersebut diketuai oleh Yang Mulia Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Penolong Rektor Akademik UNISSA yang juga selaku Dekan Fakulti Bahasa dan menyempurnakan penyerahan sumbangan tersebut.
Program Yadan Bi Yadin ini dianjurkan bagi memupuk sifat prihatin serta pemedulian para mahasiswa/i Fakulti Bahasa Arab khasnya dan warga UNISSA amnya terhadap masyarakat sekeliling terutama sekali golongan yang memerlukan di Negara Brunei Darussalam di samping menanamkan sifat bermasyarakat dan saling tolong menolong antara satu sama lain.