PROGRAM PERTUKARAN PELAJAR FAKULTI BAHASA ARAB, UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI KE UNIVERSITAS DARUSSALAM GONTOR, INDONESIA.
Seramai 13 orang mahasiswa dan mahasiswi dari Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terpilih untuk menyertai Program Pertukaran Pelajar oleh Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor, Indonesia bermula 9 Januari 2022 hinggalah 15 April 2022.
Sehubungan itu, para mahasiswa dan mahasiswi UNISSA yang terpilih telah dialu-alukan dalam Majlis Pembukaan Program Pertukaran Pelajar yang diadakan oleh UNIDA secara maya.
Pada majlis pembukaan itu, wakil rektor (Akademik) UNIDA, Dr Abdul Hafiz bin Zaid dalam ucapan alu-alunnya menyatakan perasaan gembira dan mengalu-alukan kedatangan semua pelajar UNISSA dalam Program Pertukaran Pelajar itu ke UNIDA. Beliau berharap kerjasama antara UNISSA dan UNIDA akan berterusan bukan hanya bagi Program Pertukaran Pelajar bahkan dalam bidang penyelidikan ilmiah, kepakaran ilmu dan khidmat masyarakat pada masa akan datang.
Sementara itu, Penolong Rektor (Akademik) dan Dekan Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad dalam ucapan balasnya, menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih di atas penerimaan baik pihak UNIDA terhadap pelajar-pelajar UNISSA dan berharap pelajar program itu akan dapat memanfaatkan peluang yang diberikan serta percaya dengan mengikuti program berkenaan, pelajar akan mampu meningkatkan kecemerlangan akademik dan memupuk rasa keyakinan diri selaku pelapis dalam memperjuangkan Bahasa Arab pada masa hadapan.
Ini merupakan kerjasama pertama bagi Program Pertukaran Pelajar antara UNISSA dan UNIDA yang mana sebelum ini, UNISSA telah pun menjalankan program itu di beberapa buah universiti luar iaitu Universiti Kaherah, Mesir; Universiti Yarmouk, Jordan; Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia; Universiti Sultan Qaboos, Oman dan Universiti Muhammad V, Maghribi. Majlis itu juga diisikan dengan sesi suai kenal di antara pelajar UNISSA dan para tenaga akademik Program Studi Pendidikan Bahasa Arab, Fakultas Tarbiyah UNIDA. Program Pertukaran Pelajar itu akan berjalan selama satu semester bermula 11 Januari di mana para pelajar akan mengikuti pengajian dalam Program Studi Pendidikan Bahasa Arab, Fakultas Tarbiyah, UNIDA secara dalam talian.