PENUTUP MAHRAJAN BAHASA ARAB 2024
Sabtu, 15 Februari 2025 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab (FBA) telah mengadakan Pertandingan Akhir Pidato Bahasa Arab Peringkat Serantau Dan Majlis Penyampaian Hadiah Mahrajan (Festival) Bahasa Arab 2024 Sempena Hari Bahasa Arab Sedunia Di Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat Majlis ialah Tuan Yang Terutama (TYT) Mohammed bin Abdullah Al-Buraithin, Duta Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam. Juga turut hadir perwakilan dari kedutaan Kesultanan Oman, Kuwait dan Qatar, pegawai-pegawai utama UNISSA, jemputan-jemputan khas, para peserta dan mahasiswa-mahasiswi UNISSA.
Ketibaan TYT di perkarangan UNISSA disambut oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA. Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah, Dekan Fakulti Bahasa Arab selaku Pengerusi Mahrajan. Di dalam ucapan tersebut beliau telah menekankan akan kepentingan mempelajari Bahasa Arab melalui Bahasa, Sejarah dan Sastera kerana ia adalah kunci kepada gerbang Pembangunan Islam di rantau ini.
Majlis diserikan dengan pertandingan akhir pidato Bahasa Arab peringkat Serantau yang julung kalinya diadakan secara fizikal oleh pihak UNISSA. Pertandingan berkenaan menampilkan seramai empat (4) orang peserta dari dalam dan luar negara. Majlis diikuti dengan persembahan daripada pemenang bagi Pertandingan Mari Bercerita Bahasa Arab. Majlis diikuti dengan penyampaian hadiah serta sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Duta Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam.
Mahrajan Bahasa Arab ini diadakan secara tahunan oleh UNISSA melalui FBA. Pada kali ini ia telah dirasmikan pada 18 Disember 2024 dan pelbagai acara serta pertandingan telah berlangsung selama beberapa bulan seperti Pertandingan Mari Bercerita dalam Bahasa Arab, Pertandingan Kaligrafi Arab, Pertandingan Mengenal Bahasa Arab bagi Pemula, Pertandingan Pidato Arab, Pertandingan Membaca Berita Bahasa Arab, Pertandingan Debat Bahasa Arab, Pertandingan Imlaa (Ejaan), Pertandingan Kahoot Bahasa Arab dan bermacam lagi. Pertandingan-pertandingan ini dibukakan kepada berbagai peringkat pendidikan di dalam dan juga luar negara.
Antara objektif utama Mahrajan ini diadakan adalah untuk meraikan penutur Bahasa Arab serta mengangkat lagi kedudukan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam. Diharapkan dengan acara sebegini, akan dapat membantu dalam memartabatkan lagi kedudukan dan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pencinta Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.
https://mediapermata.com.bn/bahasa-arab-terus-diperkasa/