UNISSA sertai Kem Bahasa Arab Serantau 2.0 Anjuran Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-Bahasa Timur Tengah Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, Malaysia
KUALA LUMPUR, Ahad, 18 Disember. – Bersempena dengan sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2022, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab telah menghantar seramai 4 orang mahasiswa Sarjana Muda Bahasa Arab dan Terjemahan bagi menyertai program Kem Bahasa Arab Serantau 2.0 selama tiga hari bermula pada 16 hingga 18 Disember 2022 yang bertempat di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.
Program sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia tidak lain bertujuan untuk mencapai objektif, antaranya ialah mengukuhkan penggunaan bahasa Arab dan meningkatkan penguasaannya di peringkat nasional, serantau dan global yang menyampaikan kepentingan perkongsian bersama dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa tersebut seperti pertandingan, seminar, aktiviti perkhemahan dan pameran yang diadakan sepanjang bulan Disember 2022. Program ini juga dapat membantu dalam mempertingkatkan kemahiran bahasa Arab dalam kalangan mahasiswa.
Program sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia yang dianjurkan oleh Universiti Malaya pada kali ini melibatkan kerjasama antara universiti-universiti di Malaysia serta universiti-universiti antarabangsa dari negara-negara Asia seperti Indonesia dan Negara Brunei Darussalam, yang secara tidak langsung dapat menjalin dan mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama dalam institusi pengajian tinggi serantau.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung antaranya mencipta logo dan slogan sorakan kumpulan, eksplorasi, latihan secara berkumpulan, mencipta lagu tema kem, malam kebudayaan Arab dan sebagainya.
Mahasiswa UNISSA tahun 3, Fakulti Bahasa Arab, Abdul Shafiq bin Rozani, selaku wakil peserta-peserta Kem Bahasa Arab Nusantara 2.0, sedang menyampaikan ucapan dalam majlis Hari Sambutan Bahasa Arab Sedunia 2022 dan majlis penutup Kem Bahasa Arab Serantau 2.0.