USAHA PENGANTARABANGSAAN UNISSA DIIKTIRAF

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mendapat pengiktirafan atas kecemerlangannya apabila tersenarai tiga teratas dalam kategori pengantarabangsaan di Majlis Penyampaian Zairi International Awards yang telah dianjurkan oleh Center for Learning Innovations & Customized Knowledge Solutions (CLICKS) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 9 Mac lalu.

Zairi International Awards merupakan pengiktirafan kepada institusi pengajian tinggi yang menangani cabaran pendidikan global dan mewujudkan impak melalui kecemerlangan dan inovasi dalam 6 kategori: impak penyelidikan, transformasi digital, pendidikan disruptif, khidmat masyarakat, pengantarabangsaan, dan ekuiti.

UNISSA juga merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN yang disenarai pendek dalam anugerah tersebut. Pada tahun ini, anugerah tersebut telah disertai oleh pelbagai institusi pengajian tinggi dari 27 buah negara.

Pencapaian tersebut menunjukkan bahawa sebagai sebuah tinggi Islam tulen, UNISSA mampu mempamerkan kecemerlangannya dalam aspek pengantarabangsaan menerusi pelbagai aktiviti dan program seperti Student Abroad Programme (SAP), Student Exchange Programme (SEP), program mobiliti akademik, persidangan dan sebagainya. Kekuatan UNISSA dalam kategori tersebut juga terletak pada keramaian pelajar antarabangsa dan jaringan hubungan kerjasama strategik bersama institut pengajian tinggi luar negara.

Hadir bagi mewakili UNISSA pada majlis tersebut ialah Dr Muhamad Alif bin Haji Sismat, Pengarah Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik dan Dr Zulamali bin Begawan Pehin Khatib Haji Matassan, Ketua Unit Jaminan Kualiti.

Sebelum majlis penyampaian berlangsung, rombongan UNISSA juga telah menghadiri bengkel dan simposium yang telah membincangkan tentang pengalaman serta cadangan untuk pembaikan dan kemajuan pengajian tinggi global, khususnya dalam penerapan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) dalam kurikulum program bagi mempertingkatkan hasil pembelajaran yang berkualiti dan mampan.