UPACARA MENAIKKAN BENDERA KEBANGSAAN SEMPENA HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-38 TAHUN

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Rabu, 16 Februari 2022:- Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar hari ini telah turut sama-sama menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-38 tahun dengan upacara menaikkan bendera negara, bertempat di Kawasan Letak Kereta Zon ‘A’, UNISSA.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia, Rektor UNISSA Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Majlis Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-38 tahun didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan perbarisan lalu terdiri daripada pasukan berunifom UNISSA; kadet tentera, pasukan kadet polis, pasukan kadet bomba, persekutuan Pengakap Kelana 1102 dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

Sebelum upacara menaikan bendera, YM Rektor UNISSA diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan pasukan berunifom UNISSA dan seterusnya menyerahkan bendera kebangsaan kepada Kadet Polis Norazatul Amal Nadhirah @ Norhafrina Binti Norariffin selaku Ketua Pasukan Perbarisan.

Seterusnya upacara menaikkan bendera diiringi dengan Lagu Kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan” oleh warga UNISSA dan ditutup dengan bacaan do’a yang dikepalai oleh 91383 Soldadu kadet Tentera, Muhd Aiman Syafiq bin Ajari

Antara tujuan upacara ini diadakan adalah untuk menanamkan semangat patriotik kepada Warga UNISSA agar dapat menjiwai perasaan kesedaran bernegara dalam memikul tanggungjawab untuk memajukan Negara Brunei Darussalam melalui peranan pendidikan demi menyahut tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Menjayakan Wawasan Negara.

Upacara ini juga sebagai pembuktian rasa kecintaan kepada tanah air dan sebagai usaha menghalang perasaan gangguan terhadap ancaman Covid-19 yang masih melanda negara dan dunia. Cabaran di fasa Endemik ini perlu kita hadapi dalam menjayakan wawasan negara agar kehidupan yang dilalui akan lebih aman dan harmoni.

Turut hadir sama ialah  Pemangku Timbalan Rektor, Dr Arman bin Haji Asmad, Penolong-Penolong Rektor, pegawai-pegawai utama, pegawai-pegawai dan kakitangan UNISSA.