UNISSA TERSENARAI DALAM THE IMPACT RANKINGS 2023

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah melakar sejarah apabila berjaya tersenarai dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak THE, sebanyak 1,705 buah universiti telah menyertai penarafan tersebut dan hanya 1,591 buah universiti yang berjaya tersenarai dalam edisi kelima tersebut.

Sejak 2019, THE Impact Rankings merupakan satu-satunya penarafan di peringkat global yang mengukur prestasi universiti mengikut 17 Matlamat Pembangunan Mampan atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goal (SDG) yang disasarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke arah membina masa depan yang mampan menjelang 2030.

Dalam edisi kelima ini, UNISSA juga merupakan institusi pengajian tinggi pertama di Brunei Darussalam yang menyertai penarafan tersebut. Dari 17 SDG, UNISSA telah menghantar data bagi 8 SDG. Dalam penyertaan kali pertama tersebut, UNISSA telah berjaya mendapat kedudukan 601-800 teratas bagi SDG 11 (Bandar dan Masyarakat yang Mampan) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh).

Sebagai sebuah institusi tinggi yang baru, pencapaian tersebut menunjukkan bahawa UNISSA mampu mempamerkan kecemerlangannya dalam menyediakan pendidikan berkualiti dalam ekosistem yang mampan menerusi pelbagai program, aktiviti dan inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar. Antara kekuatan UNISSA dalam pelaksanaan SDG 16 juga terletak pada Program Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah. Program Dwi Ijazah tersebut telah menghasilkan ramai graduan yang boleh dipasarkan dan berdaya saing.

Sebagai universiti Islam tulen, UNISSA juga akan terus komited memainkan peranannya untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar bagi sama-sama membantu negara mencapai Wawasan Brunei 2035, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB 2030.