UNISSA TERIMA ANUGERAH CEMERLANG KERJASAMA INDUSTRI DARI IBFIM

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Kuala Lumpur, 25 Februari 2023 – Sebagai mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam pengembangan bidang kewangan Islam di peringkat antarabangsa, maka Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) buat julung kalinya telah menyampaikan Anugerah Cemerlang Kerjasama Industri IBFIM (IBFIM’s Outstanding Industry Collaboration AwardIOIC) kepada UNISSA semasa Majlis Pengurniaan Sijil ke-4 IBFIM (4th IBFIM Certification Conferment Ceremony) di Kuala Lumpur.

Anugerah IOIC telah disempurnakan oleh Penerima Anugerah Diraja dalam Kewangan Islam 2022, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. Hadir untuk menerima anugerah tersebut ialah Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA dan Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), UNISSA.

IOIC merupakan anugerah tahunan yang diberikan oleh IBFIM sejak 2018 kepada institusi tempatan dan antarabangsa yang berkerjasama dengan cemerlang dalam membangun bakat dan kemahiran profesional dalam bidang kewangan Islam. Menurut sumber dari IBFIM yang melaporkan bahawa UNISSA merupakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) antarabangsa pertama yang menerima anugerah tersebut.

IBFIM adalah sebuah institusi pembelajaran sepanjang hayat untuk industri perkhidmatan kewangan Islam. IBFIM juga merupakan penasihat Syariah berdaftar di bawah Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007 dan menyediakan pelbagai khidmat nasihat dan perundingan Syariah untuk industri perkhidmatan kewangan. Pensijilan profesional dalam kewangan Islam yang ditawarkan oleh IBFIM telah diperakui oleh pihak industri kewangan di seluruh dunia dan memenuhi piawaian industri selain menerima akreditasi penuh dari Finance Accreditation Agency (FAA).

Hubungan kerjasama antara UNISSA dan IBFIMbermula pada tahun 2017, apabila satu proses pemetaan program telah dilaksanakan antara Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam (BScIF) yang ditawarkan oleh FEKIm UNISSA dengan program Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF) IBFIM. Hasil penilaian mendapati 11 buah kursus program BScIF dengan purata 94% telah disahkan menepati dan memenuhi kriteria pensijilan AQIF. Sehubungan itu, IBFIM telah bersetuju memberikan pengecualian penuh kepada graduan BScIF FEKIm UNISSA – yang memenuhi syarat pensijilan yang ditetapkan oleh IBFIM – untuk dianugerahkan sijil AQIF tanpa perlu mengikuti latihan dan seterusnya melayakkan mereka untuk mengikuti program latihan profesional di peringkat yang lebih tinggi.

Sijil AQIF IBFIM telah disahkan oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) Negara Brunei Darussalam sebagai kursus singkat/pendek yang diiktiraf oleh MKPK sebagai Sijil Kemahiran Nilai Tambah kepada kelulusan sedia ada khusus dalam bidang berkenaan.

Pengikitirafan pengajian kewangan Islam oleh institusi latihan profesional di peringkat antarabangsa ini menjadi penanda aras penting (benchmark) yang signifikan terhadap kualiti kurikulum perbankan dan kewangan Islam yang ditawarkan oleh FEKIm UNISSA dan sekaligus meletakkannya sejajar dengan IPT ternama di Malaysia, seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), Open University Malaysia (OUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tuan Abdul Razak (UniRazak), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Widad University College, University of Reading Malaysia, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang juga mempunyai hubungan strategik industri bersama IBFIM.

Kesungguhan FEKIm untuk memperkasa bidang pengajian kewangan Islam di UNISSA menerusi usaha kerjasama dengan IBFIM dapat diungkapkan menerusi komitmennya apabila memetrai penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak IBFIM pada 13 Disember 2017, diikuti dengan penandatanganan Surat Akujanji (LoU) pada 21 Oktober 2020 dari Meja ke Meja, dan penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) pada 18 Ogos 2021 secara maya.

Sehingga ke hari ini seramai 34 orang graduan BScIF telah menerima pensijilan AQIF dalam Majlis Hafl al-Takharruj (HT) UNISSA dan seramai tujuh orang tenaga akademik UNISSA telah menerima pensijilan AQIF menerusi Recognition of Prior Learning (RPL), Credit Transfer and Class Enrolment Exemption of AQIF. Dekan FEKIm UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani menjelaskan bahawa penganugerahan IOIC ini menjadi sebahagian daripada peristiwa penting dalam penubuhan UNISSA dan setentunya menjadi salah satu pencapaian yang membanggakan FEKIm dalam arena pendidikan kewangan Islam di peringkat antarabangsa. Menurutnya lagi, pencapaian ini akan dijadikan sebagai pendorong yang kuat kepada FEKIm melipat gandakan usaha dan menggembleng tenaga untuk melahirkan lebih ramai sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dalam bidang kewangan Islam, boleh dipasarkan (marketable) dan seterusnya menyumbang kepada Institusi Kewangan Islam (IKI). Dalam hal ini, beberapa perancangan plan strategik telah pun disusun oleh fakulti untuk merealisasikan cita-cita tersebut selain mendukung aspirasi negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah hub kewangan Islam antarabangsa.