UNISSA SEMARAK PENGAJIAN QIRAAT DALAM FORUM BERSAMA ILMUWAN 2022

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sabtu, 26 Mac 2022– Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Usuluddin telah mengadakan sebuah program bersama para tokoh dan sarjana dalam bidang pengkhususan berkaitan program yang ditawarkan di Fakulti Usuluddin. Forum ini dinamakan Forum Bersama Ilmuwan dengan mengangkat tema “Menyemarakkan Pengajian Qiraát”. Siri Forum ini bertujuan untuk menampilkan pakar-pakar dalam dan luar negara untuk mengongsikan kepakaran dan pengalaman ilmiah masing-masing. Di samping itu, ia juga sebagai platform untuk mewujudkan suasana ilmiah yang kondusif dengan membudayakan iklim ilmu di kalangan para akademik dan mahasiswa. Perkongsian kali ini ini sangat bermakna bagi para mahasiswa dalam bidang qiraat khususnya, dan bagi para pencinta ilmu lainnya dari dalam dan luar negara amnya.

Siri Forum Bersama Ilmuan yang dianjurkan oleh Fakulti Usuluddin ini telah menjemput seorang ahli pakar dalam bidang al-Qiraat iaitu Yang Mulia Dr Sabri bin Mohammad, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga Dr Ahmad Baha bin Mokhtar, Pensyarah Fakulti Usuluddin Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Manakala moderatornya pula ialah seorang pelajar Sarjana Usuluddin (secara Kerja Kursus & Disertasi), UNISSA iaitu Dayang Nurhaziqah binti Haji Awang Mohd Taha.

Panel pertama merupakan seorang yang tidak asing lagi dalam bidang qiraat di Malaysia, beliau membentangkan mengenai “peranan Qiraat Qura’niyah dalam Pelbagai Disiplin Pengajian Islam”. Dalam kertas kerja ini beliau menyatakan ilmu Qiraat mempunyai peranan tersendiri dalam perspektif luas yang berkaitan dengan ilmu tafsir, akidah dan fiqh. Beliau menyebutkan bahawa fuqaha atau ulama dalam bidang fiqh banyak bergantung kepada bacaan qiraat yang sahih dalam proses mengeluarkan hukum dan fatwa. Bacaan qiraat dijadikan dalil bagi memastikan ketepatan hukum yang dikeluarkan. Sementara panel kedua pula menyentuh mengenai perkembangan pengajian qiraat di Brunei Darussalam dengan pembentangan bertajuk “Realiti Pengajian Qiraat di Brunei”. Beliau menelusuri perkembangan pengajian qiraat secara formal di Negara Brunei Darussalam yang semakin mendapat tempat pada hari ini. Bermula pada tahun  2017 Universiti Islam Sultan Sharif Ali menawarkan program Sarjana Muda Tahfiz dan Qiraat yang diletakkan di bawah Fakulti Usuluddin. Meski pun masih baru, program ini dilihat mempunyai potensi untuk melahirkan pakar dalam bidang qiraat negara. Forum akademik sebegini yang menampilkan pakar dari negara luar adalah antara usaha UNISSA untuk memperkasa bidang qiraat dan memupuk budaya ilmu dalam kalangan para warganya.

Sekalipun forum perbincangan mengenai topik qiraat dianggap eksklusif oleh ramai orang ia telah mampu menarik lebih 70 peserta berhimpun menyemarak siri forum Bersama Ilmuwan kali ini. Forum secara maya ini menggunakan platform Zoom. Peserta yang hadir terdiri dari kalangan warga akademik, para pelajar siswazah, prasiswazah, dan juga masyarakat awam. Termasuklah kehadiran ini daripada institusi pengajian tinggi luar negara seperti dari Malaysia dan Indoensia.