UNISSA MENGHADIRI FORUM PRESIDEN UNIVERSITI DALAM USAHA MENINGKATKAN KUALITI AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Johor Bahru, Malaysia, Khamis, 10 Ogos 2023 – Dua orang tenaga akademik Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai Forum Presiden Universiti (UPF2023) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 8hb hingga 10hb Ogos 2023 di salah sebuah hotel di Johor Bahru, Malaysia telah dirasmikan oleh Yang berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

Sebelumnya, UTM-UPF telah diadakan sejak tahun 2009 dan menjadi platform untuk institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan dan memberikan maklum balas terhadap tuntutan global. Mengetengahkan tema “Innovating Solutions: Expanding Horizon“, UTM-UPF2023 kali ini bertujuan untuk mempersiapkan dan mengongsikan amalan terbaik serta analisis strategi terkini dalam mengubah pandangan dan pendekatan IPT global terhadap agenda pengantarabangsaan. Ini termasuk usaha dan inisiatif yang diterajui oleh IPT dalam menyokong penyelesaian inovatif sebagai tindak balas kepada trend semasa dan cabaran yang dihadapi secara global. Justeru, kehadiran pemimpin universiti, pengurusan tertinggi dan wakil kanan institusi memainkan peranan penting dalam merancang dan membangunkan hala tuju masa hadapan IPT.

Antara aturcara program UTM-UPF2O23 tahun ini ialah sesi pembentangan Ucaptama oleh Duta Istimewa dan Mutlak Romania ke Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, Puan Yang Terutama Nineta Barbulescu. Diikuti dengan penyampaian Panel Forum, Sesi Pertukaran Kerjasama, Hi-Tea Rangkaian Kerja, Bengkel Kerjasama untuk Impak Global, Program Geran Padanan Antarabangsa dan Meja Bulat Presiden yang dihadiri para pemimpin universiti.

Forum berkenaan telah dihadiri oleh delegasi daripada beberapa perwakilan insititusi lain di Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Filipin, Nigeria dan Lithuana. Mewakili Universiti Sultan Sharif Ali ialah Yang Mulia Profesor Madya Dr Siti Sara binti Ahmad selaku Penolong Rektor UNISSA  dan Dr Hajah Sri Rahayu @ Nurjanah binti Haji Dollah, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA.

Antara objektif forum ialah mempromosikan beberapa pengkhusuan bidang penyelidikan serta membincangkan  strategi yang efektif dalam usaha meraih peluang untuk berkongsi amalan terbaik, cabaran dan potensi dalam pembangunan sesebuah universiti. Di akhir program, para delegasi telah berkesempatan menyertai lawatan ke kampus UTM dan menyaksikan beberapa produk yang telah dihasilkan oleh pihak Universiti dalam bidang marin, sains dan bioteknologi.