TAKLIMAT KERJAYA ‘SUCCESS COACHING – FIND YOUR WHY’ ‘TAKLIMAT KERJAYA BESAMA ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI (ABDB)’ EKSPO KERJAYA UNISSA 2022 (UNISSA CAREER EXPO 2022) SEMPENA MAHRAJAN HAFL AL-TAKHARRUJ KE-12, UNISSA

17 Ogos 2022M. Universiti Islam Sultan Sharif Ali melalui Ekspo Kerjaya UNISSA, hari ini meneruskan lagi taklimat kerjaya sempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-12, UNISSA yang diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Taklimat yang bertajuk ‘Success Coaching – Find Your Why’ telah disampaikan oleh Mejar (B) Rusli Bujang, Pengurus Empowerior dan Presiden Persatuan Kaunseling Brunei (PERKAB) dihadiri oleh seramai 108 orang peserta yang terdiri daripada 100 orang mahasiswa dan lapan orang alumni UNISSA telah hadir dalam taklimat ini.

Taklimat ini merupakan salah satu inisiatif UNISSA untuk membantu meningkatkan motivasi pelajar dalam usaha memilih kerjaya yang bersesuaian kelak. Selain itu ia juga dihasratkan akan dapat membantu pelajar mengatur hala tuju kehidupan mereka.

Isi kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai maksud WHY terhadap setiap tindakan yang dilakukan. Turut dikongsikan tindakan yang memberikan inspirasi kejayaan seperti sentiasa gembira dan bersyukur dengan apa yang ada. Di samping itu, pendekatan baru dalam persediaan memohon pekerjaan juga perlu dilakukan pelajar agar mudah untuk diterima oleh pihak majikan.

Pada sebelah petang pula, satu taklimat juga telah disampaikan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Taklimat Kerjaya Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) tersebut disampaikan oleh empat anggota ABDB daripada empat unit:

863 Mejar Abd Mujib bin Hj Japar (Jabatan Agama), 1112 Kapten Abu Hurairah bin Haji Mohd Salleh (Polis Tentera), 953 Kapten Haziyah Syazwani binti Hj Zunaidi (Pejabat Pengambilan), 1243 Leftenan Ferra De Rajoli binti Jamal (Tentera Darat Diraja Brunei), 1131 Leftenan Madya Fatin Afiqah binti Ramlli (Tentera Laut Diraja Brunei), dan 1251 Leftenan Shakri bin Sahri (Tentera Darat Diraja Brunei).

Isi kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai kelayakan dan kriteria yang diperlukan bagi menyertai ABDB. Di samping itu, turut dikongsikan ialah  proses pengambilan rekrut dan pegawai tentera ABDB, tips ujian temu bual,  proses latihan dan proses penjawatan.