TAKLIMAT KERJAYA “ASPIRASI USAHAWAN AGRO MUDA” & “PERKONGSIAN ALUMNI UNISSA” KARNIVAL KERJAYA UNISSA 2022 (UNISSA CAREER EXPO 2022) 16-18 OGOS 2022 SEMPENA MAHRAJAN HAFL AL-TAKHARRUJ KE-12, UNISSA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

18 Ogos 2022. Pada  hari ini, Karnival Kerjaya UNISSA 2022 diteruskan lagi. Pada hari terakhir karnival tersebut, dua taklimat kerjaya telah disampaikan iaitu pada sebelah pagi dan petang di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Taklimat pada sebelah pagi yang bertajuk “ASPIRASI USAHAWAN AGRO MUDA” telah disampaikan oleh Dayang Norisa Azuma binti Mohammad Norazmi, pengasas bersama Agrometro Private Company; dan Awang Mohamad Akmal Asmaan bin Haji Asmali, pengasas bersama Akmal Asmaan Agro Farm. Taklimat tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Khairul Hidayatullah Bin Haji Basir, Penolong Pensyarah, Fakulti Pertanian, UNISSA.

Taklimat ini bertujuan untuk membantu meningkatkan  minat dan motivasi  graduan dan pelajar dalam menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan. Seramai 126 orang peserta yang terdiri daripada 42 mahasiswa dan 9 alumni UNISSA, 32 orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan  41 orang pelajar  Sekolah Menengah Arab Lelaki Hassanal Bolkiah (SMALHB).

Taklimat tersebut antara lainnya memperkenalkan dua buah perusahaan yang dimiliki oleh penyampai taklimat, iaitu Agrometro Private Company dan Akmal Asmaan Agro Farm. Selain itu, kedua-dua penyampai turut mengongsikan motivasi mereka dalam memulakan perniagaan dalam bidang pertanian.

Cabaran dan saingan dalam menceburi bidang pertanian juga turut dikongsikan, seperti cabaran tanaman diserang serangga perosak, persaingan dengan syarikat-syarikat lain dan sebagainya. Di samping itu, kedua-dua penyampai juga memberikan tips dan nasihat kepada peserta yang antara lainnya menyentuh  mengenai: Menilai kemampuan diri sendiri sebelum menceburi apa jua bidang perniagaan dan kepentingan kapital atau modal bagi memulakan perniagaan.  Peserta juga dinasihatkan untuk sentiasa memperbaiki diri dalam bidang perniagaan dengan sentiasa belajar dan menuntut ilmu.  

Pada sebelah petang pula, taklimat terakhir iaitu “Perkongisan Bersama Alumni” telah disampaikan oleh empat orang alumni UNISSA iaitu:  Ustaz Mohammad Dini bin Haji Morsidi, Pegawai Kanan Khidmat Nasihat Rumahtangga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Sabrina binti Haji Mahmud, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara; Khairul Hazmi bin Haji Munir, pengasas bersama Bersih Solution dan Nur Hakimah binti Madali, pengasas bersama Wings & Drumettes. Taklimat dipengerusikan oleh Nur Faizah binti Mohamad Khairol Azmi, mahasiswi tahun 4 , Fakulti Syariah dan Undang-Undang, UNISSA.

Taklimat ini bertujuan untuk memberikan dorongan dan semangat kepada mahasiswa-mahasiswi dan alumni UNISSA dalam menghadapi cabaran selepas menamatkan pengajian di peringkat universiti, terutama cabaran dalam mencari pekerjaan dan memulakan perniagaan.

Dalam taklimat ini, antara nasihat yang disampaikan kepada alumni dan mahasiswa-mahasiswi UNISSA ialah untuk mengubah cara berfikir dan mengurangkan sifat ego. Ini adalah sebagai persediaan sebelum masuk ke alam pekerjaan. Selain itu, dalam pengurusan masa pula, mahasiswa-mahasiswi dinasihatkan  untuk bijak dalam menguruskan masa dalam pengajian dan menyertai aktiviti-aktiviti  luar dan dalam kampus.

Di samping itu, peserta taklimat dinasihatkan untuk membetulkan niat, menyayangi diri sendiri, menjalani dan mengikuti segala proses dan perjalanan dengan positif dan jangan pernah berputus asa dalam apa jua perkara seperti belajar, mencari pekerjaan dan memulakan perniagaan.

Seramai 80 peserta telah menyertai taklimat ini yang terdiri daripada 65 orang mahasiswa dan 12 alumni UNISSA dan selebihnya orang awam.

Karnival Kerjaya UNISSA 2022 diakhiri dengan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam karnival berkenaan. Sijil disampaikan oleh yang mulia Dr Hajah Lilly Suzana Binti Hj Shamsu, Penolong Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UNISSA.

Dengan berakhirnya karnival tersebut, diucapkan ribuan terima kasih kepada penaja-penaja Karnival Kerjaya UNISSA 2022 yang terdiri daripada pegawai-pegawai eksekutif UNISSA, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Al-Huffaz Leaders dan Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA.