SEMINAR ANTARABANGSA ISU-ISU DAKWAH DAN AKIDAH KONTEMPORARI (SEMADA 2022)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Selasa, 8 Mac 2022– Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Usuluddin dan Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Pusat Kajian Dakwah & Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam telah mengadakan sebuah seminar antarabangsa secara kerjasama dalam bidang dakwah dan akidah. Seminar ini dinamakan Seminar Antarabangsa Isu-Isu Dakwah dan Akidah Kontemporari (SEMADA 2022). Seminar ini turut mendapat kerjasama penganjuran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Islam dan Universitas Ibn Khaldun, Bogor, Indonesia melalui Fakultas Agama Islam.

SEMADA 2022 mensasarkan perbincangan isu-isu kontemporari dalam menjadikan golongan pendidik khususnya yang bertindak selaku pendakwah untuk mengetahui dan mengenali tentang cabaran baharu. Ini termasuklah isu-isu dalam aliran pemikiran kontemporari yang menyerang umat Islam pada masa ini. Ia sangat signifikan untuk diangkat apatah lagi dalam zaman digital yang memberikan kemudahan pelbagai fahaman baharu meyusup masuk hingga mengelirukan pemikiran awam terhadap Islam.

Oleh yang demikian kertas pembentangan daripada para ilmuan dan ahli akademik serta peneylidk sangat diperlukan dalam sama-sama berkongsi dapatan kajian mereka, di mana ia akan memacu percambahan idea dan buah fikiran bagi meningkatkan mutu dakwah dan pengukuhan akidah. Tema-tema seminar meliputi bidang akidah, tasawwuf, perbandingan agama,falsafah, pengajian Islam, tamadun Islam, Dakwah, komunikasi dan pengurusan dakwah, psikologi dakwah dan dakwah kontemporari.

UNISSA dan UKM mempunyai hubungan yang akrab apatah lagi setelah memeterai Memorandum Persefahaman antara keduanya. Keakraban ini jelas dizahirkan melalui aktiviti dan program ilmiah yang dijalankan sama ada dalam penganjuran bersama seminar dan persidangan, lawatan ilmiah dan pertukaran pelajar.

Antara pengisian seminar ini ialah forum khas dengan menonjolkan panelis daripada negara Nusantara yang mewakili tiga institusi pengajian tinggi yang bekerjasama menganjurkan SEMADA 2022. Mereka terdiri daripada kalangan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang akidah dan dakwah. Daripada Universitas Ibn Khaldun (UIKA), Indonesia diwakili oleh Yang Berbahagia Profesor Dr H.E. Mujahidin, Rektor UIKA. Sementara daripada Malaysia diwakili oleh Yang Berbahagia Dr Muhammad Faisal Ashaari, Pengerusi Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Brunei Darussalam pula diwakili oleh Yang Mulia Dr Hajah Sri Rahayu @ Nurjanah binti Haji Dollah, Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, UNISSA. Forum membawa tema perbincangan “Akidah Mapan, Insan Cemerlang”.

Seminar sehari penuh ini akan menyajikan hadirin secara dalam talian dengan 20 buah kertas pembentangan yang membincangkan pelbagai sudut berkaitan akidah dan dakwah. Sekali pun seminar diadakan secara maya namun usaha sebegini merupakan jalan bagi pendidikan era baru zaman digital khasnya setelah Covid-19 menjadi isu global yang tidak boleh dikesampingkan.  Seminar berjaya menarik lebih 800 orang penonton yang menggunakan platform Zoom, facebook dan Youtube.