Retreat Pelan Strategik 2019-2023 : UNISSA Tingkat Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Khamis, 10 Mac 2022 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) meneruskan lagi usahanya dalam mencapai kecemerlangan dalam meningkatkan tahap pencapaian Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI). Hal ini telah dibincangkan, diteliti dan dinilai dalam Retreat ‘Laporan Pelan Strategik UNISSA bagi tahun 2021 yang telah diadakan pada 10 Mac lalu, diungkayahkan oleh Unit Jaminan Kualiti menerusi Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik (PPPS).

Majlis tersebut berlangsung di Dewan an-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di mana ianya telah dihadiri oleh pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama UNISSA yang terdiri daripada dekan-dekan fakulti, pengarah-pengarah pusat dan pejabat, dan ketua-ketua unit.

Sebanyak 78 KPI dalam Pelan Strategik UNISSA (2019-2023) telah dibentangkan. Pelan strategik tersebut merupakan pelan jangka masa lima tahun UNISSA dalam usahanya ke arah mencapai visinya iaitu untuk menjadi hab pengajian tinggi Islam di Asia. Sehubungan itu, Rektor UNISSA, Dr Norarfan bin Haji Zainal, dalam amanatnya menekankan kepentingan dalam mencapai misi UNISSA dalam melahirkan pemimpin bertakwa dan berwibawa yang menyumbang kepada pembangunan ummah melalui empat teras strategik UNISSA: kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kecemerlangan penyelidikan dan penerbitan, pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa, dan prasarana dan urustadbir yang mapan.

Dalam mencapai misi dan visi universiti, UNISSA telah memperolehi ISO 9001:2015 (International Standard Organization) dan pengiktirafan 4 star plus dari University Performance Metrics (UPM) bagi memastikan ianya mampu berdiri teguh sebaris dengan universiti-universiti ternama di dunia. Di samping itu juga, UNISSA turut memfokuskan terhadap bidang-bidang penerbitan yang berimpak tinggi di dalam dan luar negeri melalui jalinan kolaborasi dengan penerbitan antarabangsa sehingga dapat memenuhi kriteria dalam rangking THE dan QS.

Hasil dari penilaian dan perbincangan dalam retreat tersebut, UNISSA berjaya mencapai 83% dari sasaran KPI bagi tahun 2021 seperti yang telah dibentangkan oleh Pengarah Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik UNISSA, Dr Adam bin Haji Jait . Pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan UNISSA dalam usahanya mencapai KPI tersebut dari tahun-tahun sebelum ini. Dr Rektor juga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam sama-sama berganding bahu dan fokus dalam memajukan UNISSA dan meningkatkan kecemerlangan dan kualiti, setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Pelan Strategik UNISSA 2019-2023 menggariskan 4 Teras Strategik iaitu :

  1. Kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran.
  2. Kecemerlangan penyelidikan dan penerbitan.
  3. Pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.
  4. Prasarana dan urustadbir yang mapan.