PROGRAM ZIARAH MAHABBAH KE-7 DAERAH TEMBURONG ANJURAN FAKULTI EKONOMI DAN KEWANGAN ISLAM, UNISSA DENGAN KERJASAMA BANK ISLAM BRUNEI DARUSSALAM (BIBD) DAN YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH (YSHHB)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Ahad, 27 Mac 2022– Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) mengadakan Program Ziarah Mahabbah (PZM) kali ke-7 di Daerah Temburong bertempat di Masjid Utama Mohammad Salleh,  Pekan Bangar, Temburong.

Program ini dianjurkan oleh badan pelajar di bawah FEKIm iaitu Islamic Finance and Economic Student Society (IFESS) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia, Rektor UNISSA Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada keluarga sasaran.

Majlis ini  merupakan projek tahunan kebajikan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bertujuan untuk mendekati dan berkhidmat kepada masyarakat luar bandar yang memerlukan bantuan di samping menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman baru untuk mahasiswa dan mahasiswi FEKIm. Namun, disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 pada masa ini, PZM pada kali ini tidak akan dijalankan seperti biasa demi mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) dan menjaga keselamatan bersama.

Umumnya, idea untuk mengadakan program ini lahir daripada kesedaran diri mahasiswa dan mahasiswi bagi memahami dan membantu orang-orang yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan sebelum menjalani ibadah puasa di bulan suci Ramadhan. Tanggungjawab membantu dan meringankan beban mereka tidak hanya patut dipikul oleh pihak kerajaan sahaja tetapi juga menjadi tanggungjawab masyarakat sekeliling. Oleh yang demikian, program ini telah menjadi aktiviti tahunan mahasiswa dan mahasiswi FEKIm UNISSA dalam memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.

Majlis diserikan lagi dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Profesor Dr Razali bin Mat Zin Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam bertajuk “Membahagiakan Hati Orang Lain Dengan Rezeki Kitani”.

Turut hadir di majlis tersebut YM Dr Arman bin Haji Asmad, Pemangku Timbalan Rektor, YM Pemangku Pegawai Daerah Temburong dan Pegawai-Pegawai Utama UNISSA.