PROGRAM ZIARAH MAHABBAH DEKATI GOLONGAN DHAIF MUKIM LABI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

BELAIT, Sabtu, 15hb April 2023M – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan program tahunan khidmat masyarakatnya iaitu Program Ziarah Mahabbah buat kali ke-8 (PZM-8) yang menghubungkan sillaturrahim antara warga FEKIm UNISSA dengan penduduk dhaif setempat di negara ini.

Majlis Penyerahan Bantuan PZM-8 kepada sembilan buah keluarga terpilih dari Mukim Labi telah diadakan di Masjid Kampong Sungai Liang, Daerah Belait. Sumbangan yang dihulurkan ialah berupa wang dan makanan asasi yang diharap sedikit sebanyak dapat membantu golongan sasaran untuk membuat persiapan menyambut bulan Syawal.

Objektif PZM-8 pada tahun ini ialah untuk mendekati dan berkhidmat kepada masyarakat luar bandar yang memerlukan bantuan di samping menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman baru untuk mahasiswa dan mahasiswi FEKIm UNISSA.

Dalam Ucapan Alu-Aluan yang disampaikan oleh Muhammad Wafiq bin Haji Marjuki, Pengerusi Bersama PZM-8, pelajar Tahun 3 program Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Islam FEKIm UNISSA telah menekankan bahawa komitmen dalam membantu dan meringankan beban golongan dhaif adalah menjadi tanggungjawab masyarakat sekeliling. Menurutnya, PZM-8 yang bertemakan “Mengeratkan Ukhuwwah, Meraih Berkah”, diharapkan dapat memberikan kesedaran diri kepada mahasiswa dan mahasiswi FEKIm UNISSA mengenai pentingnya menanamkan rasa kecintaan dalam menjaga persaudaraan sesama umat.

Dalam satu sesi wawancara bersama beberapa orang penerima bantuan PZM-8, iaitu Muhammad Zamrul Nizam bin Abdullah Chong dan Dayang Noraini binti Abdullah @ Indi Anak Mingu menyatakan rasa syukur mereka yang mendalam dan mengucapkan berbanyak terima kasih atas ingatan dan perihatin warga UNISSA dan BIBD terhadap golongan dhaif di Mukim Labi. Dengan adanya bantuan yang diterima setentunya dapat meringankan beban dan membantu mereka membuat persediaan yang selayaknya untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan PZM-8 kepada keluarga sasaran Mukim Labi ialah Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan, FEKIm UNISSA.

Turut hadir semasa majlis penyerahan bantuan ialah Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek-Projek Khas BIBD dan imam-iman Masjid Kampong Sungai Liang, Mohd Zulhilmi bin Mohd Jefri dan Mohd Ikhwan bin Irwandy. Juga hadir ialah Dr Amnisuhailah binti Abarahan, Timbalan Dekan FEKIm, para pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi Tahun 1 dan 3, FEKIm UNISSA.

Terdahulu daripada itu, untuk meraih keberkatan dan kelebihan-kelebihan di bulan Ramadhan, Majlis Khatam al-Qur’an juga telah mengambil tempat. Bacaan Surah al-Fatihah dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, Profesor Madya Dr Abdul Nasir diikuti dengan bacaan Surah-Surah Lazim beramai-ramai.

Majlis seterusnya diserikan lagi dengan tazkirah yang disampaikan oleh Dr Kamaru Salam bin Yusof, Penolong Profesor, FEKIm UNISSA bertajuk “Masyarakat Peduli Pemangkin Ummah”. Antara isi kandungan tazkirah ialah peri pentingnya menanamkan sikap pemedulian antara sesama masyarakat kerana ia merupakan tonggak asas kekuatan dan penyatuan ummah. Ke arah itu, masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam merealisasikan tujuan tersebut seperti yang dapat diteladani menerusi Sirah Nabawiyyah sewaktu Rasulullah sewaktu berhijrah ke Madinah yang menjadikan masjid sebagai markas utama penyatuan umat Islam.