PROGRAM SEEDS FOR THE FUTURE 2023 (SFTF2023)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Isnin, 18hb September 2023 – Program Seeds for the Future 2023 (SFTF2023) yang dianjurkan oleh Huawei Technologies (B) Sdn. Bhd dengan kerjasama Fakulti Teknologi Islam (FIT), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah dirasmikan dalam sebuah majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA. Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan.

Kehadiran Yang Berhormat Menteri telah disambut dan diiringi oleh Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Hajah Lilly Suzana Binti Hj Shamsu (Penolong Rektor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni); Yang Mulia Dr. Haji Azman bin Ahmad, Setia Usaha Tetap, Pengajian Tinggi; Yang Mulia Datin Paduka Professor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei; Yang Mulia Mr. Tong Wei Shiang, CEO Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, Dekan Fakulti Teknologi Islam; Profesor Dr. Hj Abd Hafidz Bin Hj Omar.

Majlis ini turut dihadiri oleh Penolong-Penolong Rektor UNISSA, Pegawai-pegawai Utama UNISSA, wakil-wakil dari institusi pengajian tinggi, agensi dan pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam program ini. Majlis pembukaan ini merupakan salah satu langkah penting dalam memajukan pendidikan berteraskan teknologi terkini di Brunei Darussalam.

Dalam ucapan aluan oleh Encik Tong Wei Shiang, CEO Huawei Brunei, beliau memberikan penghargaan dan terima kasih kepada FIT, UNISSA terutamanya mantan dekan Dr. Dayang Hjh Tiawa Awg Hj Hamid kerana inisiatif beliau dapat bersama-sama menganjurkan program SFTF2023 selama 8 hari. Encik Tong Wei Shiang melihat potensi masa depan Brunei dalam pemodenan infrastruktur teknologi dan pengembangan ruang digital. Beliau percaya bahawa tidak terlalu lewat untuk memperoleh pengetahuan baru, dengan harapan dapat menyumbang kepada ekonomi digital Brunei. Beliau juga menyatakan bahawa ini adalah platform yang sangat baik bagi mereka yang ingin terlibat dalam industri teknologi. Beliau juga menekankan fokus Program Seeds for the Future ini, yang menawarkan pelajar peluang untuk meneroka inovasi teknologi, pertandingan global Tech4Good, dan pertukaran budaya dengan pelajar-pelajar dari dalam dan luar negara. Program ini mampu meningkatkan pengetahuan mereka dalam mengembangkan dan mengaplikasikan teknologi digital dan memberi mereka peluang untuk mempersembahkanidea-idea inovatif dalam projek yang dijalankan. Menariknya, program ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) global Huawei.

Sementara itu, dalam ucapan Profesor Dr. Hj Abd Hafidz bin Hj Omar, Dekan FIT selaku pengerusi bersama SFTF2023, menyatakan kerjasama antara FIT dan Huawei Technologies (B) Sdn Bhd telah dijalin menerusi perjanjian MoU pada awal tahun 2023 dengan beberapa aktiviti telah pun dijalankan secara berterusan sehinggalah ke program SFTF 2023 hari ini dimana usaha ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada kemahiran dan pengetahuan teknologi terkini dari perspektif industri. Program seumpama ini akan meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang teknologi yang sentiasa berubah dengan deras terutama mensiapsiagakan pelajar memasuki abad ke-21. Kerjasama ini diharapkan akan memberikan perkembangan yang bermanfaat bagi generasi muda dan memberi mereka pemahaman yang mendalam mengenai teknologi terkini, termasuk teknologi 5G, pengkomputeran awan (cloud computing), kecerdasan buatan (AI), robotik, pembelajaran mesin (ML) dan lain-lain lagi.

Program ini berlangsung selama lapan hari bermula hari ini dan termasuk 15 jam kursus yang disiarkan secara langsung serta akses kepada lebih daripada 40+ kursus dalam talian yang meliputi teknologi, inovasi, perbincangan mengenai topik-topik terkini, pertukaran budaya, dan penyertaan dalam projek Tech4Good. Untuk pertama kalinya selepas pandemik, program ini telah membawakan mentor yang terdiri dari pakar-pakar untuk memberikan bimbingan dan interaksi secara langsung bersama pelajar-pelajar. Program ini bertujuan untuk memupuk bakat, memupuk semangat dalam bidang ICT, dan menyumbang kepada kemajuan industri ICT tempatan. Seramai 35 pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Brunei Darussalam telah mengambil bahagian dalam program ini.

Seperti menanam biji kecil untuk membesarkan pokok yang kuat, program ini bertujuan untuk memupuk bakat-bakat muda dalam bidang ICT yang memiliki kemahiran dan minat yang diperlukan untuk kejayaan dalam bidang teknologi pada masa depan. Objektif program ini termasuk membangunkan bakat tempatan, berkongsi pengetahuan, meningkatkan kesedaran dan semangat dalam sektor ICT, dan memupuk pembinaan komuniti digital.

Penyertaan dalam SFTF2023 adalah penting bagi kalangan pelajar pengajian tinggi yang bersemangat dan berhasrat untuk mengejar kerjaya dalam industri ICT. Program ini menawarkan peluang kepada peserta untuk mengenal pelbagai teknologi ICT yang sedang berkembang seperti 4G, 5G, IoT, AI, ML dan peluang pembelajaran yang berharga. Pengalaman sedemikian membolehkan peserta mengatasi cabaran-cabaran dalam masyarakat melalui inovasi ICT yang berpotensi digunakan di Brunei. Dengan itu, SFTF2023 berperanan sebagai platform untuk membangunkan individu yang berpendidikan dan sangat terlatih, sejajar dengan pengiktirafan antarabangsa tertinggi seiring dengan objektif Wawasan Brunei 2035 dan penerapan SDGs dalam kalangan peserta.