PROGRAM JELAJAH SILATURRAHIM DAIE BORNEO WADAH HUBUNGAN KERJASAMA ILMIAH ANTARA UNISSA DAN UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Kota Kinabalu, Sabah Malaysia, 1hb Mac 2023 – Program Jelajah Silaturrahim Daie Borneo anjuran Fakulti Usuluddin Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke negeri bawah Bayu Sabah telah berlangsung selama enam hari bermula pada 27 Februari hingga 4 Mac 2023. Program ini disertai oleh 10 orang tenaga akademik Fakulti Usuluddin bersama 38 mahasiswa/i Usuluddin terdiri daripada ahli Badan Pelajar Usuluddin (BadrU).  Mengetuai rombongan UNISSA ialah Dr Hajah Sri Rahayu@Nurjanah binti Haji Dollah, Dekan Fakulti dan Dr Ahmad Baha bin Haji Mokhtar, Timbalan Dekan serta pegawai-pegawai yang lain. Turut hadir dalam program berkenaan delegasi Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malayisa (WOAGM) yang merupakan salah satu penaja program ini di bawah pimpinan Presidennya, YM Profesor Dato’ Dr Mohd Fakhruddin bin Abdul Mukti, juga selaku profesor Akidah di Fakulti Usuluddin UNISSA.

Antara pengisian program ialah siri lawatan mahabbah ke Fakulti Pengajian Islam (FIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS). Menyambut kehadiran peserta rombongan ialah YBhg. Profesor Dr Hj Mohd Dahlan bin Hj A.Malek, Dekan Fakulti Pengajian Islam UMS di samping pegawai-pegawai dan kakitangan Fakulti tersebut. Acara dimulakan dengan ucapan Alu-Aluan Vice Canselor UMS yang disampaikan oleh Dekan Fakulti serta ucapan balas daripada pihak UNISSA, diikuti dengan penyampaian taklimat pengenalan mengenai FIS yang baru ditubuhkan secara rasmi sejak tahun 2021 oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FIS. Di akhir majlis, diadakan penyerahan cenderahati dan Mushaf UNISSA kepada pihak UMS.

Objektif lawatan diadakan adalah untuk menjalin hubungan kerjasama antara dua buah institusi, di samping usaha jerayawara program pengajian Fakulti Usuluddin UNISSA ke luar kampus. Menerusi lawatan ini juga dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa/i Fakulti Usuluddin mengenai sistem dan situasi pengajian di Institusi Pengajian Tinggi luar negara. Dengan wujudnya lawatan ini dihasratkan dapat memperkukuh hubungan antara dua hala serta menerapkan “Exchange Knowledge” dalam kalangan mahasiswa/i UNISSA dan UMS. Pada acara berasingan, sesi perbincangan Meja Bulat juga turut berlangsung antara tenaga akademik UNSSA, UMS dan ahli Rabitah. Menerusi diskusi tersebut, pihak UNISSA dan UMS telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang akademik meliputi aspek penyelidikan, pertukaran pelajar dan staf, kolaborasi dalam penulisan, penerbitan serta penganjuran seminar. Pihak UNISSA juga menyuarakan  peluang bagi pelajar Fakulti Usuluddin mendapatkan pengalaman belajar di UMS khususnya dalam program penempatan Latihan Industri yang berkaitan dengan bidang dakwah.

Sesi bergambar ramai bersama warga UMS
Rombongan Tenaga Akademik Fakulti Usuluddin UNISSA
Sesi penyerahan cenderahati daripada pihak UMS  
Mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali