PROGRAM JAWLAH SYAWAL: ALUMNI DONATION DRIVE 2024

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

4HB APRIL 2024M Khamis, 24 Ramadhan 1445H, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Pejabat Hal Ehwal Alumni (HEA) UNISSA serta Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni (JKEPA) UNISSA sesi 2023/2025, telah mengadakan acara pengagihan sumbangan bagi Program Jawlah Syawal: Alumni Donation Drive 2024, yang telah berlangsung pada jam 2.00 petang, di kawasan pentadbiran UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, juga turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai serta kakitangan dan ahli JKEPA UNISSA.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Haji Ahmad Ahyad Bin Haji Amynoor, Ketua Unit Pembangunan Kemahiran dan Tarbiah (UPKT), Persatuan Alumni UNISSA, diikuti dengan ucapan ringkas daripada Yang Di-Pertua Persatuan Alumni UNISSA, Dr Muhammad Yadiy Bin Haji Mat Yassin.

Acara diikuti dengan ucapan ringkas daripada tetamu kehormat, Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, dengan ucapan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur Program Jawlah Syawal atas inisiatif ini yang menjadi satu wadah dalam membantu dan memastikan kebajikan dan kemaslahatan para Alumni UNISSA terpelihara dengan baik.

Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, Rektor UNISSA menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Jawlah Syawal: Alumni Donation Drive’, adalah merupakan sebuah program tahunan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni UNISSA. Program tersebut bertujuan untuk memelihara kebajikan dan meringankan bebanan antara kalangan Alumni UNISSA serta bagi memudahkan urusan penyungkaian sepanjang menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan dan menyambut bulan Syawal yang akan menjelang tiba. Program ini juga bertujuan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) yang pertama iaitu “sifar kemiskinan” di antara kalangan komuniti dan masyarakat Negara Brunei Darussalam.

Program berkenaan menyaksikan penyampaian barangan sumbangan yang merupakan hasil daripada kutipan derma wang tunai yang mencecah lebih dari BND$1000 dan juga kutipan derma barang asasi yang berlangsung sejak Hari Jumaat, 22 Mac sehingga Hari Rabu, 03 April 2024. Barangan sumbangan tersebut telah diagihkan kepada seramai 11 orang penerima yang terdiri dari Alumni UNISSA di tiga daerah Negara Brunei Darussalam iaitu Daerah Brunei Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Dr Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu, Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Nurhafizatulhikmah binti Haji Seribini, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar juga turut menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Ustaz Haji Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, Ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Dr Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, Yang Di-Pertua Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni (JKEPA) UNISSA sesi 2023/2025 menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Semoga dengan inisiatif ini dapat membantu meringankan para Alumni UNISSA yang memerlukan bantuan dan dapat mencapai tujuan penubuhan Persatuan Alumni UNISSA iaitu antaranya adalah untuk memelihara kebajikan dan kemaslahatan para Alumni UNISSA. Diharap juga agar program ini dapat dikendalikan secara berterusan di masa akan datang.