PROGRAM IHYA AZ-ZIRA’AH, FAKULTI PERTANIAN DI KG. KULAPIS

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Kulapis, 12 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Pertanian telah mengadakan Program Ihya Az-Zira’ah selama dua hari mulai 12 Ogos 2022 sehingga 13 Ogos 2022. Program ini diadakan di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis dan juga ladang sawah padi milik Syarikat Warisan Hasmit Agrofarm.

Rombongan seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada 6 orang pelajar tahun pertama dan 14 orang pelajar tahun kedua Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Agribisnis), 8 orang pelajar dari lain-lain fakulti, 5 orang pensyarah dan 5 orang kakitangan Fakulti Pertanian, UNISSA telah menyertai program tersebut.

Tujuan program adalah untuk melahirkan warga pelajar yang memiliki sahsiah diri yang mulia, berhemah, berbudi dan beramal, di samping memupuk nilai-nilai kerjasama dan saling bantu-membantu sesama sendiri dan juga komuniti bersama serta membiasakan diri dengan menghidupkan malam dan siang dengan amalan yang berfaedah.

Sesi taklimat yang disampaikan oleh pengerusi aktiviti sebelum program bermula

Program bermula pada petang Jumaat dengan sembahyang Asar berjemaah di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kg Kulapis dan diteruskan dengan aktiviti memasak untuk makan malam secara bergotong-royong di kalangan peserta.

Bekerjasama membersihkan sayur bayam untuk dimasak
Bergotong-royong menyediakan bahan-bahan untuk memasak

Pada sesi malam, program disambung dengan sembahyang Maghrib dan Isya berjemaah dan dilanjutkan dengan tazkirah bertajuk “Anjuran Islam dalam Bercucuk Tanam” yang disampaikan oleh Ramadhan bin Haji Ibrahim, pelajar tahun dua Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Agribisnis). Sesi ditutup dengan menikmati jamuan makan malam beramai-ramai.

Sesi tazkirah di kalangan para peserta
Para AJK memberi makanan kepada para peserta program bagi makan malam

Pada hari kedua program, seawal jam 3.30 pagi para peserta memulakan aktiviti mereka dengan sembahyang sunat Tahajjud dan sembahyang sunat Hajat berjemaah yang dipimpin oleh Muhd Nur Iqbal bin Metali, pelajar tahun dua Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Agribisnis). Aktiviti diteruskan dengan bacaan surah Al-Mulk dan surah Al-Jumu’ah beramai-ramai dan dilanjutkan dengan sembahyang Subuh secara berjemaah.

Sesi qiamullail dan bacaan surah-surah pilihan

Pada sebelah pagi, para peserta terlebih dahulu menikmati jamuan sarapan pagi sebelum bertolak ke ladang sawah padi Hasmit Enterprise untuk menjalankan aktiviti utama mereka. Di ladang, para peserta berpeluang memberikan khidmat sambil belajar menuai padi secara tradisional menggunakan pisau (sabit). Rombongan seterusnya berpeluang menyaksikan secara langsung aktiviti penuaian padi menggunakan mesin menuai padi (paddy harvester) yang canggih. Aktiviti diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama pemilik Syarikat Warisan Hasmit Agrofarm.

Program yang julung kali diadakan oleh Fakulti Pertanian ini memfokuskan kepada peserta untuk merasai sendiri proses penuaian padi secara holistik.

Aktiviti menuai padi menggunakan pisau (sabit)

Melihat kepada hasil baik yang diperolehi daripada program ini, ia diharapkan dapat mengeratkan tali silaturrahim sesama pelajar, di samping memberikan impak positif daripada segi amalan ibadat, kerja berpasukan dan kemahiran bertani serta menyumbang kepada masyarakat dalam usaha untuk melahirkan generasi belia yang berwawasan dan beramal.

Sesi bergambar ramai bersama pemilik Syarikat Warisan Hasmit Agrofarm