PROGRAM EKSPO DAN KEUSAHAWANAN SOUQ TANI SEMPENA MAHRAJAN HAFL AL-TAKHARRUJ KE-13 UNISSA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Jumaat, 25 Ogos 2023 – Program ekspo dan keusahawanan Souq Tani telah berlangsung selama 4 hari bermula 22 hingga 25 Ogos 2023 sempena Mahrajan Hafl At-Takharruj ke-13, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Program yang diadakan di Dewan Serbaguna Al-Rayyan, Kampus Sinaut, Tutong, UNISSA telah disertai oleh seramai 30 pengusaha-pengusaha tempatan dari sektor pertanian, perikanan, agrimakanan serta dari sektor makanan dan minuman.

Antara pengusaha-pengusaha yang terlibat adalah Ghanim International Corporation Sdn Bhd; InnovAero Sdn Bhd; Fatih Aquaculture; Morifarm; Cahaya Agro; Eco Nadi; dan Ibnu Anwari Enterprise. Berkesempatan untuk mengunjungi dan berinteraksi bersama pengusaha-pengusaha pada hari pertama Program Souq Tani adalah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.

Program Souq Tani yang julung kalinya dianjurkan oleh Fakulti Pertanian dan Faculty of Agriculture Students’ Society (FASS) mempunyai objektif untuk membuka ruang kepada pengusaha-pengusaha industri pertanian serta makanan dan minuman untuk mempamerkan dan menjual produk mereka. Program ini juga membuka peluang hubungan rangkaian di antara pelajar-pelajar, khususnya Pelajar Fakulti Pertanian, dengan pengusaha-pengusaha yang terlibat bagi perkongsian pandangan, amalan terbaik dan bimbingan mengenai industri pertanian dan perikanan.

Selaras dengan salah satu objektif Fakulti Pertanian untuk melahirkan graduan- graduan yang dapat mengenal pasti peluang keusahawanan yang ada,  khususnya di dalam industri pertanian, Program Souq Tani dihasrat dapat menjadi platform bagi pelajar-pelajar Fakulti Pertanian untuk mula berkecimpung di dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan daya saing diri. Program ini secara tidak langsung juga bertujuan untuk mempupuk dan membina minat keusahawanan di dalam industri pertanian agar dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri pertanian di Negara Brunei Darussalam.

Fakulti Pertanian, di UNISSA telah ditubuhkan pada Januari 2021. Antara program yang ditawarkan adalah Program AgriBridge, Program Sarjana Muda Pertanian (Agribisnes), Program Sarjana Muda Pertanian (Agroteknologi), Program Sarjana Pertanian (Agribisnes) (secara kajian), Program Sarjana Sains Pertanian (secara kajian) dan Program Doktor Falsafah.