PESTA PANTUN ANTARA INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 2023

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Khamis, 12 Oktober 2023 – Dalam usaha pengekalan (sustainability) untuk memartabatkan pantun sebagai puisi tradisi Melayu yang diwarisi sejak zaman berzaman dan dihayati oleh generasi muda, Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah mengambil inisiatif melalui cetusan idea Tuan Yang Terutama Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dengan mengadakan Pesta Pantun Institusi Pengajian Tinggi Negara Brunei Darussalam.

Pesta pantun kali ini dikelolakan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. Sebanyak lima buah kumpulan turut bertanding iaitu 2 pasukan dari UNISSA, 2 pasukan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan 1 pasukan dari Kolej Universiti Ugama Seri Begawan (KUPUSB).

Peringkat Akhir Pesta Pantun Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Negara Brunei Darussalam diadakan di Dewan Musyawarah, Persidangan Antarabangsa dan hadir selaku Tetamu Kehormat, Yang Mulia Dr. Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Turut hadir di majlis tersebut, Tuan Yang Terutama Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, Penolong-Penolong Rektor UNISSA, Pegawai-pegawai Utama UNISSA, wakil-wakil dari Institusi Pengajian Tinggi, pensyarah-pensyarah dan juga para peserta pertandingan pesta pantun.

Dalam ucapan penutup yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, beliau ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UNISSA, DBP dan UBD atas segala bentuk kerjasama dalam menjayakan Pesta Pantun tahun ini. Beliau juga ingin memberi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam diatas sokongan terhadap pelaksanaan pertandingan ini. Seterusnya beliau juga mengucapkan tahniah kepada para mahasiswa/i yang menyertai pertandingan selama tiga hari serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kejayaan penganjuran Pesta Pantun tahun ini.

Sementara itu, menurut Yang Mulia Ustaz Hayatuddin bin Haji Moksin, Dekan Hal Ehwal Pelajar yang menjadi Pengerusi Bersama Pertandingan Pesta Pantun dalam ucapan penutupnya turut memberi penghargaan dan tahniah setinggi-tingginya kepada semua para peserta pertandingan ini yang berjaya. Dalam ucapan beliau; “pantun merupakan seni bangsa yang telah diperturunkan daripada generasi terdahulu kepada generasi kini. Pantun yang kaya dengan seni kata yang halus dan irama yang indah turut melambangkan kehebatan dan kepakaran masyarakat Melayu dalam bidang berbahasa. Dalam era teknologi kini, penggunaan puisi tradisional iaitu pantun ini semakin jarang digunakan. Justeru pertandingan pesta pantun antara Institusi Pengajian Tinggi ini merupakan langkah yang proaktif dalam memelihara khazanah bangsa Melayu agar tidak pupus di telan zaman.”

Pertandingan pesta pantun antara IPT Negara Brunei Darussalam pada tahun ini dijuarai oleh Kumpulan UBD A daripada Universiti Brunei Darussalam, diikuti oleh pasukan daripada UNISSA B (Universiti Islam Sultan Sharif Ali) sebagai Naib Juara dan tempat ketiga dari pasukan UNISSA A (Universiti Islama Sultan Sharif Ali). Para pemenang akan menerima sijil dan wang tunai dari Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan cenderahati dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Manakala Anugerah Pemantun Terbaik adalah Anis Elyana binti Anuar dari kumpulan UNISSA B (Universiti Islam Sultan Sharif Ali).

Diantara objektif pertandingan ini adalah untuk menonjolkan bakat-bakat terpendam mahasiswa/i dalam bidang seni pantun agar dapat berkembang ke peringkat kebangsaan dan seterusnya mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Disamping itu, pertandingan seperti ini dihasrat dapat mengekal dan mengembangkan seni berpantun sebagai khazanah puisi Melayu tradisional dan warisan bangsa.

Pengalaman yang dapat diperolehi dari pertandingan diharapkan dapat menggalakkan daya berfikir para pelajar IPT dalam berpantun dengan cepat, tepat, kritis dan kreatif termasuk dapat membina keyakinan diri dan sedia bersaing secara sihat dalam pertandingan.