PERTANDINGAN INOVASI PRODUK HALAL LABUH TIRAI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Pertandingan Inovasi Produk Halal kali ke-3 2023 yang dianjurkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) menampilkan penyertaan dari beberapa pelajar Institut Pengajian Tinggi Brunei. Pertandingan ini diselaraskan oleh Penolong Pensyarah, Nor Surilawana Hj Sulaiman bersempena dengan Mahrajan Hafl al-Takharruj kali ke-13, Universiti Islam Sultan Sharif Ali sepanjang bulan Ogos 2023.

Pertandingan ini telahpun melabuhkan tirai pada hari Khamis, 24 Ogos 2023 dengan majlis pengumuman dan penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang-pemenang Pertandingan Inovasi Produk Halal yang bertempat di Dewan Al-Rayyan, UNISSA, Kampus Sinaut, Daerah Tutong.

Majlis ini telah dihadiri oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim selaku tetamu kehormat.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah, diikuti dengan rumusan pandangan salah seorang panel juri mengenai projek-projek para peserta, penyampaian sijil dan cenderahati kepada para juri dan diselajurkan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang bagi pertandingan tersebut yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Tempat pertama dengan menerima wang tunai BND300 disandang oleh Hasna Basirah dan Profesor Beston Nore dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan projek mereka bertajuk ‘Development of Halalan-Tayyiban Plant-Based Cheese Formulations’.

Manakala tempat kedua pula milik Md Haziq Aiman bin Azri Irwandy, Nabilah Ulfah binti Haji Jopry, Nur Jeslina binti Hasnal, Radi’atul Ewana Shafina binti Abdul Rahman dan Dayang Hajah Yumni Syakirah binti Hj Othman, peserta dari UNISSA, dengan projek produk inovasi mereka bertajuk ‘KATA Pocket Translator Device’ dengan menerima BND250.

Sementara, Nur Atikah Fariah binti Muhammad Asrul, Nor Husna ‘Afifi binti Zulhilmi, Dk Noorwatriyah Thaqifah binti Pg Hj Asri Sukaimi, Hajah Nur Munawwarah binti Haji Brahim, Nur Nabiilah binti Haji Ramlli, Nur Ilya Maisarah binti Haji Mohd Yassin, Nurul ‘Izzati binti Haji Kamri dan Nurzianatul Rasyidah binti Nasib pula mendapat tempat ketiga menerima wang tunai BND200 dengan produk inovasi bertajuk ‘Preserving Consumer Rights through Brunei Halal Scanner’.

Pertandingan ini bertujuan sebagai satu platform untuk menggalakkan para pelajar untuk mempamerkan produk, projek dan kreativiti serta idea inovatif mereka kepada orang ramai.