PERSIDANGAN ANTARABANGSA UNIVERSITI-UNIVERSITI ISLAM 2023

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Selasa, 27 Jun 2023 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) buat julung kalinya menganjurkan Persidangan  Antarabangsa Universiti-Universiti Islam 2023 (ICIU2023) dengan kerjasama Asian Islamic Universities Association. ICIU2023 yang pertama kali dianjurkan di bawah payung AIUA ini mengangkat tema “Landskap Pendidikan Tinggi Islam Abad 21: Strategi dan Hala Tuju”. Tema ini dipilih memandangkan landskap akademik pendidikan tinggi yang saban hari menerima hambatan globalisasi. Kemajuan pesat dunia digital dan teknologi maklumat serta komunikasi telah memberi dimensi baru kepada pemain industri pendidikan tinggi apatah lagi bagi IPTI yang banyak berpegang kepada sistem tradisional dalam pengajaran dan pembelajaran. Hari ini metodologi pengajaran dan pembelajaran perlu kreatif dan inovatif lebih-lebih lagi setelah pandemik Covid-19 melanda dunia. Media pengajaran mengalami transformasi mendadak khususnya semasa penularan wabak covid 19 belum terbendung lagi. Pada ketika itu perkuliahan berjalan menongkah adat dengan perjumpaan diadakan secara maya. Sistem penilaian dan peperiksaan pula terpaksa menerima kelainan dari cara tradisi yang diamalkan sebelumnya. Lantas perubahan mendadak ini mengundang pula pelbagai cabaran lain termasuk kesihatan dan kesejahteraan mental dan emosi para pelajar dan pendidik.

Justeru bagi memastikan IPTI di negara-negara Asia tetap pada parameter asal penubuhannya, persidangan ini diadakan bagi menjadi medan untuk memahami, belajar melalui perkongsian, meneladani amalan terbaik bagi terus memperkasa pendidikan Islam.

Antara objektif ICIU2023 adalah bagi membincangkan isu-isu penting untuk terus mengekalkan kerelevanan kurikulum pengajian Islam dalam mendepani perubahan global dan seterusnya mencadangkan jalan penyelesaiannya. Sebagai negara serumpun yang memiliki banyak persamaan adat, budaya dan iklim jaringan kerjsama seperti ini sangat signifikan agar keteguhan persaudaraan dapat diperkukuh yang seterusnya mewujudkan IPTI yang saling memberikan dokongan untuk kejayaan bersama.

ICIU2023 ini dimeriahkan dengan kehadiran 131 pembentang dengan 234 peserta. Ia juga dihadiri oleh peserta dari dalam dan luar negara. Di samping itu ICIU2023 juga mempertandingkan poster-poster hasil penyelidikan para pelajar siswazah dari negara-negara ahli AIUA.

ICIU2023 menjadi lebih bermakna apabila perasmiannya disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddin, Sultan Dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA. Keberangkatan Baginda ke program akademik dan ilmiah seperti ini adalah manifestasi kepimpinan baginda yang bijaksana dan gigih memuliakan ilmu sesuai ketinggiannya.

Keberangkatan tiba baginda dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Berangkat sama ialah Paduka Anaknda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Persidangan ini diadakan selama dua hari dengan pembentangan perdana disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Selesai pembentangan di dewan utama, Baginda dijunjung melawat ruang mini pameran yang mempamerkan poster-poster yang berjaya mendapat anugerah terbaik dalam ICIU2023. Pameran juga mengongsikan penyelidikan pelajar siswazah dalam bidang halal, pertanian, bahasa Arab dan al-Qur’an dan undang-undang. Semua penyelidikan ini mempunyai elemen inovasi yang mampu memberikan kemudahan kepada orang ramai mengamalkan praktik dalam agama.

Terdahulu di hari pertama, beberapa kertas juga telah dibentangkan oleh tokoh akademik dan sarjana jemputan sebagai pembentang ucaptama termasuklah Professor Dr. Salama Gomma Ali Daoud, Presiden Universiti al-Azhar, Mesir, Professor Dr H. Mujiburrahman, Rektor UIN Antasari Banjarmasin yang juga merupakan Presiden AIUA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA dan juga Naib Presiden AIUA, dan Professor Dato Dr Wan Sabri bin Wan Yusof, Naib Chanselor Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia dan Setiausaha Agung AIUA.

AIUA merupakan sebuah pertubuhan yang menggabungkan IPTI negara serumpun rantau Asia dari Indonesia, Malaysia, Maldives, Filipina, Thailand dan Brunei Darussalam. Hingga hari ini AIUA dianggotai oleh lebih 80 keahlian daripada IPTI negara-negara Asia, di mana Negara Brunei Darussalam diwakili oleh UNISSA. Ditubuhkan pada tahun 2015, AIUA bertujuan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dalam kalangan IPTI negara-negara Asia bagi sama-sama mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan dengan menggunakan pendekatan Islam yang holistik.