PERASMIAN PENUTUP PROGRAM SEEDS FOR THE FUTURE (SFTF2023) ANJURAN SYARIKAT HUAWEI TECHNOLOGIES (B) SDN BHD DENGAN FAKULTI TEKNOLOGI ISLAM (FIT) UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Rabu, 27 September 2023 – Program Seeds for the Future 2023 (SFTF2023) kini telah melabuhkan tirainya. Perasmian penutup program ini yang merupakan anjuran Huawei Technologies (B) Sdn Bhd dengan kerjasama Fakulti Teknologi Islam (FIT), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA. Upacara penutup ini telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Dr. Chin Wei Keh, Timbalan Setiausaha Tetap, Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Kehadiran Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap telah disambut dan diiringi oleh Pemangku Rektor UNISSA, Yang Mulia Dr. Hajah Lilly Suzana binti Hj Shamsu (Penolong Rektor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni); Yang Mulia Mr. Tong Wei Shiang, CEO Huawei Technologies (B) Sdn Bhd serta Dekan Fakulti Teknologi Islam,Yang Mulia Profesor Dr. Hj Abd Hafidz bin Hj Omar. Majlis ini turut dihadiri oleh Penolong-Penolong Rektor UNISSA, Pegawai-pegawai Utama UNISSA, wakil-wakil dari institusi pengajian tinggi, agensi, dan pelajar-pelajar yang telah mengambil bahagian dalam program ini.

Dalam ucapan penutup yang disampaikan oleh Yang Mulia Mr Tong Wei Shiang, CEO Huawei Technologies (B) Sdn Bhd dimana beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, mantan dekan Fakulti Teknologi Islam (FIT) Yang Mulia Dr. Dayang Hjh Tiawa binti Awg Hj Hamid dan Dekan Profesor Dr Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar atas usaha dan inisiatif beliau dalam penganjuran bersama program SFTF2023 yang berlangsung selama 8 hari.

Menurut Mr Tong Wei Shiang, program Seeds for the Future (SFTF2023) menyediakan ruang dan platform kepada para peserta untuk mendalami pelbagai teknologi terkini seperti teknologi 5G, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan Kuasa Digital. Beliau menekankan kepentingan menguasai kemahiran dalam mengurus pembangunan teknologi yang semakin kompetitif, mengambil peluang memajukan diri dengan aspek kreativiti dan inovasi teknologi terkini. Menerusi program SFTF2023, pertandingan Tech4Good diwujudkan bagi membuka  peluang dan ruang para pelajar mempersembahkan hasil projek yang dibangun serta meneroka potensi ICT dalam pembangunan yang mampan dan berterusan. Huawei bertekad akan terus menyumbang dari aspek teknologi dan kepakaran kearah menyediakan generasi muda yang berdaya saing serta menuju Wawasan Brunei 2035 dalam program sebegini.

Sementara itu, menurut Yang Mulia Profesor Dr. Hj Abd Hafidz bin Hj Omar, Dekan Fakulti Teknologi Islam (FIT), UNISSA, yang juga menjadi pengerusi bersama SFTF2023 dalam ucapan penutupnya turut memberi penghargaan dan tahniah setinggi-tingginya kepada Huawei Technologies (B) Sdn Bhd atas kejayaan penganjuran program Seeds for the Future 2023 (SFTF2023). Beliau turut berkongsi kegembiraan dan berpuashati dengan komitmen serta sikap dedikasi kesemua 32 orang peserta serta bimbingan dan tunjuk ajar dari para mentor dari Indonesia dan koordinator dari Malaysia disepanjang program ini berlangsung.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta yang berjaya dan menerima anugerah atas hasil tugasan mereka yang memerlukan semua orang untuk bersedia secara digital dalam menangani tuntutan yang seiring dengan perubahan. Beliau juga telah menekankan berkenaan kepentingan mempelajari dan memperoleh pengetahuan serta kemahiran berkenaan dari aspek teknologi terkini dan inovasi berkaitan bidang topik yang telah dipelajari sepanjang program tersebut berlangsung yang merangkumi teknologi 5G, pengkomputeran awan, IoT, kuasa digital dan kecerdasan buatan (AI).  Beliau yakin bahawa pelaburan dalam pembelajaran ini akan memberikan hasil yang bermakna pada masa depan, selaras dengan matlamat program untuk memupuk bakat-bakat muda dalam bidang ICT yang memperoleh kemahiran dan minat dalam menggali bidang teknologi untuk memajukan komuniti digital.

Program berlangsung selama 8 hari, bermula dari 18 September 2023 hingga 25 September 2023, dan melibatkan 32 pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Brunei. Pada acara hari ini, 3 peserta terbaik akan menerima internship invitation bersama Huawei Technologies (B) Sdn Bhd  dan sijil penghargaan iaitu Nur Amal Afiqah binti Muhammad Nor Risman (UNISSA) dari Fakulti Shariah dan Undang-Undang; Ahmad Ihsanuddin bin Haji Mohamed (UTB), Fakulti School of Computing and Informatics dan Junaid Al-Ghazali bin Muhammad Fadhillah (UBD) dari Fakulti Institute of Health Science. Manakala Nur Waa’fa binti Haji Hamidun, pelajar tahun dua Fakulti Teknologi Islam (FIT), UNISSA telah menerima Team Leader Award (Seeds Stars) bersama dua lagi peserta dari Republica Moldova dan Romania.

Kursus-kursus yang disediakan mencakup aspek teknologi, inovasi, perbincangan mengenai topik-topik terkini, pertukaran budaya, dan penyertaan dalam projek Tech4Good. Tujuan program ini adalah untuk memupuk bakat, menginspirasi semangat dalam bidang ICT, dan menyumbang kepada kemajuan industri ICT tempatan.

Pengalaman yang diperoleh dari Program Seeds for the Future 2023 ini sangat berharga dan mampu mengembangkan bakat dan kemahiran pelajar dari institusi pengajian tinggi di Brunei dalam menghadapi cabaran teknologi ICT, selaras dengan objektif Wawasan Brunei 2035 dan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dengan menghasilkan tenaga kerja yang cekap, terlatih, dan berdaya maju.