PERSATUAN ALUMNI UNISSA KUKUHKAN UKHUWWAH ANJUR KEJOHANAN FUTSAL

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya, Lapangan Terbang Lama Berakas, Bandar Seri Begawan, Ahad, 26 Februari 2023.

Pejabat Hal Ehwal Alumni (HEA) dan Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Kejohanan Futsal Amal Piala Alumni UNISSA 2023.

Matlamat utama penganjuran kejohanan ini ialah bagi menyuburkan rasa kepunyaan dan prinsip kekitaan kepada UNISSA sebagai alma mater lulusan peserta. Rasa kepunyaan ini nampak menyerlah dengan sumbangan beberapa alumni khususnya yang telah berjaya membina perniagaan sendiri kepada kejohanan yang dilangsungkan buat julung-julung kalinya ini. Sebagai alumni setentunya sumbangan kepada universiti yang melahirkan mereka merupakan suatu yang tinggi nilainya, justeru hasil kutipan yuran kejohanan akan diserahkan 100% ke Tabung Ta’awun UNISSA. Tabung ini adalah sebuah wadah yang menjadi platform bagi memberi bantuan kepada para pelajar yang memerlukan atau pelajar yang ditimpa musibah semasa dalam pengajian. Selain itu, kejohanan seperti ini diharapkan  dapat mengukuhkan silaturahim di antara alumni, mahasiswa dan warga UNISSA.

Kejohanan ini telah menghimpun seramai 66 orang alumni, termasuklah sebuah kumpulan gabungan alumni dan para pelajar Indonesia. Para peserta merupakan  alumni tahun 2011, 2013, 2016, 2017, 2018, 2019, 2021 dan 2022. Sebanyak 9 pasukan telah pun menyertai kejohanan tersebut.  6 daripadanya merupakan pasukan alumni UNISSA dan 3 pasukan pula merupakan pasukan jemputan,  iaitu dua pasukan mahasiswa dan satu pasukan staf UNISSA.

Kejohanan dimenangi oleh pasukan Intake ‘18 (Alumni 2022), manakala naib johan disandang oleh pasukan LomGrad FT (pasukan mahasiswa). Tempat ketiga pula disandang oleh pasukan TBM (Alumni 2021).

Hadiah pemain terbaik  kejohanan dianugerahkan kepada Ahmad Fauzan bin Haji Hamdan daripada pasukan Intake ‘18 (Alumni 2022). Mohammad Adib bin Suimi daripada pasukan TBM (Alumni 2021)  pula merupakan penjaring terbanyak kejohanan dan  Mohammad Amzar bin Iswandi daripada pasukan LomGrad FT (pasukan mahasiswa) dianugerahkan sebagai penjaga gawang terbaik.

Tidak lupa diucapkan ribuan terima kasih kepada penaja hadiah kejohanan. Hadiah-hadiah ditaja oleh alumni UNISSA secara individu dan beberapa perniagaan milik alumni iaitu Bersih Solutions, Sky Vision Media BN, Muharib, Sang Kancil Learning Centre, Wings And Drumettes dan Pelita Coffee.

Pejabat Hal Ehwal Alumni UNISSA ditubuhkan pada 1 September 2021. Antara peranan pejabat tersebut ialah menjadi nadi penghubung antara universiti dan alumninya. Ini termasuklah bekerja rapat dengan Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN) dalam menyediakan program-program atau aktiviti-aktiviti yang relevan bagi manfaat para alumni.

1 Johan, Naib Johan, Tempat Ketiga dan Ahli Jawatankuasa Kejohanan Futsal Amal Piala Alumni UNISSA 2023
2 Aksi perlawanan antara pasukan alumn 2019 (biru) dan pasukan TBM (Alumni 2021)
3 Aksi perlawanan antara  TyTwelve FC (Alumni 2016/2017, baju biru) dan pasukan Staf UNISSA
4 Aksi perlawanan antara UNISSA 09 (Alumni 2013, baju putih) dan pasukan LomGrad FT (mahasiswa UNISSA)
5 Aksi perlawanan antara Intake ’18  (Alumni 2022, baju hijau) dan pasukan LomGrad FT (mahasiswa UNISSA).
6 Naib Johan LomGrad FT (pasukan mahasiswa) bersama Ahli Jawatan Kuasa Kejohanan
7 Tempat Ketiga, pasukan TBM (Alumni 2021) bersama Ahli Jawatankuasa Kejohanan
8 Johan, pasukan Intake ‘18 (Alumni 2022) bersama Ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni UNISSA, Dr Hafini bin Mahmud