MAJLIS PELANCARAN BUKU-BUKU TERBITAN TERBAHARU UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI 1443H/2021M

Share News

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Recent News

Sebanyak 33 buah buku, dalam pelbagai bidang, hasil tulisan beberapa penulis, berjaya diterbitkan juga dilancarkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan (PPP), tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak tujuh buah buku dalam bahasa Melayu; tujuh buah dalam bahasa Inggeris; dan sembilan buah dalam bahasa Arab. Di samping itu, sebanyak enam buah jurnal; dan dua kamus; satu ensiklopedia; juga satu monograf al-Shafi’i diterbitkan.

Dalam usaha pengantarabangsaan, UNISSA melaksanakan kerjasama dalam penerbitan, iaitu penerbitan bersama penerbit universiti luar negara, iaitu IIUM Press, Malaysia.

Pelancaran pada tahun ini merupakan detik bersejarah kerana lima judul buku, yang merupakan terbitan bersama IIUM Press, Malaysia, iaitu tiga Judul dalam bahasa Inggeris; satu Judul dalam bahasa Melayu; dan satu Judul dalam bahasa Arab dapat diterbitkan.

Antara buku-buku yang menarik ialah Kitab Hadis Arbain Yasin Fadani : Karya Ulama Nusantara Di Tanah Suci’; ‘The Qur’an On Art, Architecture And Built Environment’; ‘Women Empowerment From Qur’anic Perspective’; dan ‘Mengurus Pekerja Toksidik Menurut Islam’, dihasilkan oleh penulis-penulis tempatan dan luar negara.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Buku-buku Terbitan Terbaharu UNISSA 2021, berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, seterusnya menyempurnakan Pelancaran Buku-buku Terbitan Terbaharu UNISSA 2021.

Pada majlis ini, tetamu kehormat majlis juga berkesudian menyampaikan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Staf UNISSA bagi Tahun 2020 kepada seramai 23 staf, dalam kategori masing-masing.
Anugerah ini disampaikan kepada staf yang dipilih daripada kalangan tenaga akademik, pegawai dan kakitangan UNISSA untuk menerima anugerah, dalam pelbagai kategori.

Pemilihan adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan, mengikut kategori penganugerahan juga mendapat sokongan yang kuat daripada Ketua Bahagian masing-masing, yang menyatakan dengan jelas sumbangan dan impak positif, dalam menjalankan tugas juga tanggungjawab yang diamanahkan.

Anugerah Kecemerlangan Staf UNISSA ini mula diadakan, pada tahun 2016 hingga sekarang. Tujuan utama anugerah ini diwujudkan adalah bagi memberikan galakan juga semangat kepada tenaga akademik, pegawai dan kakitangan untuk lebih komited juga berdaya saing secara sihat, dalam memantapkan dan meningkat lagi kualiti kerja, dalam bidang masing-masing.

Diharapkan, dengan adanya penganugerahan yang seumpama ini, akan dapat menyuntik semangat kerja yang lebih positif, bekerjasama dan berdaya tahan untuk mencapai kualiti yang diperlukan, dalam menjalankan pekerjaan.

Turut hadir, Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Penolong Mufti (Buhuts), Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusuf; Pemangku Penolong Mufti (Ifta), Dr. Awang Haji Dennie bin Haji Abdullah; Penolong-penolong Rektor UNISSA; juga Pegawai-pegawai Utama Jabatan Mufti Kerajaan dan UNISSA.