MINGGU AKHIR TA’ARUF BAGI MKEMASUKAN MAHASISWA/I SESI PENGAJIAN 2023/2024 UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Bandar Seri Begawan, 29 Julai 2023 – Minggu Ta’aruf Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berakhir dengan Aktiviti Khidmat Masyarakat yang dikendalikan oleh Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2023/2024.

Aktiviti Khidmat Masyarakat tersebut dihasratkan dapat memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar baru sesi akademik 2023/2024 mengenai peranan belia untuk berkhidmat dan menyumbang bakti kepada masyarakat. Selain itu, aktiviti ini juga disasarkan untuk menjadi pendorong kepada pelajar untuk menjadi belia yang lebih proaktif, peka dan prihatin kepada masyarakat dan persekitaran di samping dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim sesama pelajar dan komiti UNISSA.

Aktiviti tersebut berlangsung di Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara. Kawasan yang terlibat ialah di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kampong Pandan Kuala Belait, The Brunei  Down Syndrome Association (ABLE), Din’s Family Garden Bukit Panggal Tutong, Kolej Kediaman UNISSA Gadong dan Sinaut, Kawasan Kampus UNISSA, Tempat Letak Kereta Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Kawasan Bandar Seri Begawan.

Selain daripada Khidmat Masyarakat, Minggu Ta’aruf bagi pelajar baharu UNISSA sesi pengajian 2023/2024 diisikan dengan taklimat dan perkongsian yang bermanfaat antaranya Taklimat Wawasan Brunei 2035 daripada Pejabat Wawasan Brunei, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Taklimat menyentuh mengenai Wawasan Brunei 2035 dan kepentingannya agar dapat bersedia terutama dalam mengharungi cabaran masa hadapan demi menikmati masa depan yang cerah dan harmoni.

Beberapa inisiatif dan perkembangan terkini ke arah menuju wawasan negara itu termasuk dalam bidang pendidikan, sumber tenaga manusia, sektor kesihatan, infrastruktur dan peningkatan keberkesanan dan produktiviti sektor awam.

Minggu Ta’aruf turut diisikan dengan program keagamaan seperti Majlis Tahlil bersama-sama dengan warga UNISSA. Bacaan Yassin dipimpin oleh pelajar baharu iaitu Muhammad Hazmi bin Haji Abd Mutalib, sementara bacaan Tahlil dan Doa diketuai oleh Awangku Muhd Afiq Hanif bin Pengiran Md Hadzarin.

Para pelajar juga turut didedahkan mengenai cara dan bacaan solat yang betul. Bengkel disampaikan oleh Ustazah Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid@Vieana, daie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).