MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN UNIVERSITI ISLAM ASIA (AIUA) KE-13

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Bandar Seri Begawan, 26 Jun – Pada tahun ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah terpilih menjadi hos Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 Persatuan Universiti-Universiti Islam Asia atau dikenali sebagai “Asian Islamic Universities Association (AIUA)” . Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Presiden AIUA, Professor Dr. Mujiburrahman, AIUA yang juga merupakan Rektor Universitas Islam Negeri Antasari, Banjarmasin, Indonesia. Mesyuarat ini diadakan pada 26 Jun 2023 bertempat di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Brunei, Jerudong dan dihadiri secara fizikal lebih 40 pemimpin universiti yang merupakan ahli-ahli persatuan AIUA, terdiri daripada universiti-universiti daripada negara Indonesia, Malaysia, Cambodia, Thailand dan Brunei Darussalam.

Hadir bagi mewakili Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ialah Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA yang juga merupakan Timbalan Presiden AIUA.

Mesyuarat agung tahunan ini diadakan untuk membangunkan rangka kerjasama universiti-universiti di peringkat Asia dan kebangsaan disamping mempromosikan Pendidikan Islam melalui universiti-universiti yang terlibat.

AIUA merupakan sebuah pertubuhan yang menggabungkan Institusi Pengajian Tinggi Islam negara serumpun rantau Asia. Sehingga ke hari ini, AIUA dianggotai oleh 78 ahli terdiri daripada institusi pengajian tinggi daripada negara Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand, Maldives, Filipina dan juga Malaysia.

AIUA ditubuhkan pada tahun 2015 bertujuan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dalam kalangan IPTI negara-negara Asia bagi sama-sama mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan dengan menggunakan pendekatan Islam yang holistik.

Persatuan ini juga diwujudkan sebagai wadah untuk menyubur kembangkan lagi rasa identiti serantau, memupuk kesaling hubungan dan kebergantungan dengan organisasi serantau dan antarabangsa dalam meligatkan lagi apa jua aktiviti pendidikan dan penyelidikan.

Selain itu, AIUA juga diharapkan untuk menjadi hab yang berperanan sebagai medium perbincangan bagi pembangunan akademik dan pembangunan universiti secara menyeluruh. Ini termasuklah membukakan peluang kepada pelajar dan warga akademik untuk menjalankan berbagai projek dan program silang budaya sesama ahli AIUA.

Sebelum mesyuarat agung ini diadakan, pihak AIUA telah mengadakan beberapa aktiviti diantaranya ialah Workshop on Managing Outbound and Inboud Student Mobility Program yang telah diadakan di Krabi, Thailand pada bulan Februari lepas. Pada kali ini, mesyuarat agung tersebut telah diserikan dengan acara International Conference of Islamic Universities (ICIU) 2023 yang diadakan selama dua hari iaitu dariapda 26 June 2023 sehingga 27 June 2023 bertempat di Empire Brunei.

Persidangan ini adalah julung kalinya dianjurkan oleh UNISSA dengan kerjasama AIUA. ICIU tercetus dari meja sidang ketika Mesyuarat Agung AIUA ke-12 di Universitas Islam Negeri Antasari, Banjarmasin, Indonesia penghujung tahun lalu. Gagasan ini adalah terbit hasil keprihatinan negara-negara ahli AIUA terhadap perkembangan semasa iklim pendidikan Islam di institusi pengajian tinggi Islam rantau ini dalam menghadapi cabaran abad ke 21.