MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ MI’RAJ 1443H/2022M UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Khamis, 3 Mac 2022, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Majlis Sambutan Isra’ Mi’raj 1443H/2022M yang diselajurkan dengan Pelancaran Laman Sesawang Baru UNISSA dan Penyampaian Insentif Bagi Pelajar Yang Mengharumkan Nama UNISSA 2021M.

Majlis tersebut telah diadakan bertempat di Dewan Auditorium, UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Yang Mulia, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Yaasin dan Doa terhindar dari bala dan diteruskan dengan Forum Khas yang bertajuk “Sembahyangku Kerana Allah”.

Pengisian forum tersebut telah menampilkan ahli panel terdiri daripada pelajar UNISSA iaitu Awang Haji Ahmad Zaki bin Haji Awang Antin, pelajar Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam dan Awang Muhammad Firdaus bin Sait, pelajar Fakulti Teknologi Islam manakala moderatornya pula ialah pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Awang Muhammad Wa’al Shafizullah bin Abdul Rahman.

Antara inti pati yang dapat diambil daripada forum berkenaan adalah bahawa anugerah Allah dalam kefardhuan sembahyang itu mempunyai rahsia yang mempunyai signifiken dengan kehidupan manusia itu sendiri. Sembahyang itu mampu mempengaruhi keperibadian seseorang dan umat masyarakat dalam mencorak kehidupan yang baik dan sempurna. Sifat Ikhlas dan istiqamah perlu ada dalam melaksanakan tuntutan sembahyang agar ibadah ini menjadi pengukuh kepada ibadah-ibadah yang lain dalam membentuk generasi yang bertaqwa.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menyemarakkan sambutan Isra’ Mi’raj peringkat UNISSA dan sekaligus untuk  meningkatkan kefahaman serta pengetahuan tentang isi forum yang disampaikan.

Majlis ini juga sebagai latihan kepada pelajar dalam meningkatkan keyakinan dan kemahiran bercakap di hadapan orang ramai untuk mempersiapsiagakan mereka untuk menempuh alam pekerjaan nanti.

Majlis tersebut diteruskan dengan Pelancaran Laman Sesawang Baru UNISSA dan Penyampaian Insentif bagi pelajar yang mengharumkan nama UNISSA pada tahun 2021 dengan penglibatan dalam pertandingan antara Institusi Pengajian Tinggi peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa yang disempurnakan oleh Rektor UNISSA.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.