MAJLIS SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1445 PERINGKAT UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1445 pada hari Khamis, 02 Muharram 1445H bersamaan 20 Julai 2023M, jam 8.00 pagi, berlangsung di Surau Al-Syafi’i UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Sambutan tersebut dimulakan dengan bacaan mingguan Surah Yasin, Tahlil dan Doa yang dipimpin oleh Pegawai Ugama UNISSA, Pengiran Mohammad Daud bin Pengiran Matassan.

Majlis kemudian disemarakkan dengan penyampaian Tazkirah Khas yang bertemakan “Ugama Dipelihara, Negara Sejahtera” yang disampaikan oleh Profesor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, Profesor dari Fakulti Usuluddin.

Antara inti pati yang dapat diambil daripada tazkirah berkenaan bahawa nikmat dan kesejahteraan hanya akan wujud atas kehendak dan limpah kurnia Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada umat-Nya yang beriman dan bertakwa. Justeru, memelihara agama Islam dengan mematuhi segala ajarannya dan menjadikannya sebagai cara hidup yang lengkap dengan berkonsepkan Melayu Islam Beraja untuk mencapai ke taraf manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala merupakan kunci kejayaan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang telah dan sedang dinikmati oleh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi memperingati peristiwa agung penghijrahan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Kota Mekah Al-Mukarramah ke Kota Madinah Al-Munawwarah di samping memberi motivasi kepada warga kerja UNISSA agar mencontohi semangat pengorbanan dan perjuangan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan UNISSA.