MAJLIS PENYERAHAN WAQAF MUSHAF UNISSA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Selasa, 22 Mac 2022:- Berkat sambutan orang ramai dalam menjayakan program waqaf mushaf UNISSA yang dibukakan sejak 16 Februari 2022 yang lalu, waqaf mushaf UNISSA mula diagihkan kepada masjid-masjid, surau, balai ibadat, sekolah-sekolah ugama, arab, Institusi Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah-sekolah rendah dan menengah, Sekolah al-Falah, Nadi al-Quran serta saudara-saudara baru pada hari ini. Majlis penyerahan waqaf mushaf ini diadakan di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Hadir menyempurnakan penyerahan Waqaf Mushaf UNISSA ialah Yang Mulia, Rektor UNISSA Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Mushaf ini merupakan hasil tulisan tangan oleh anak tempatan dan dijadikan kepala perarakan pada setiap Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA.

Pada 26 Zulkaedah 1432 hijrah bersamaan dengan 24 Oktober 2011 masihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddalauh Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali telah berkenan merasmikan penulisan mushaf ini dengan menulis Basmalah dalam ruangan Surah Al-Faatihah. Majlis tersebut merupakan satu lakaran sejarah yang sangat bermakna kepada UNISSA. Penggunaan mushaf ini buat julung-julung kalinya digunakan sebagai kepala perarakan Majlis Hafl Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali ke-10 yang diadakan pada hari isnin, 9 November 2020 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala pada tahun ini Pihak UNISSA telah menerbitkan mushaf ini dalam bentuk ukuran kecil untuk dimanfaatkan oleh umat Islam dan juga memberi peluang kepada orang ramai untuk berwaqaf berbentuk mushaf.

Universiti Islam Sultan Sharif Ali telah memulakan projek Waqaf Mushaf UNISSA bagi orang ramai pada 16 Februari yang lalu. Bagi memudahkan orang ramai, pihak UNISSA telah menyediakan pautan khas untuk memudahkan mereka mendaftar menggunakan e-form dan membuat pembayaran secara dalam talian. Pada fasa pertama ini, UNISSA memperuntukkan 20 ribu naskhah Mushaf UNISSA untuk projek waqaf ini dengan menyasarkan institusi masjid, surau, balai ibadat, institusi pendidikan, saudara-saudara baru dan institusi atau organisasi luar negara sebagai penerima waqaf.

Alhamdulillah, respon yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan. Setakat 21 Mac 2022, sebanyak 4253 naskhah Mushaf UNISSA telah ditempah untuk diwaqafkan. Projek waqaf mushaf ini merupakan projek berterusan dan ianya masih lagi dibukakan kepada orang ramai.

Insya Allah Waqaf Mushaf ini akan diagihkan secara berperingkat-peringkat ke sekolah-sekolah agama dan arab serta sekolah-sekolah rendah dan menengah bermula hari ini.

Manakala, bagi Wakaf Mushaf UNISSA ke luar negara, UNISSA akan mengagihkan secara berperingkat ke tempat yang dipilih oleh Jawatankuasa Waqaf UNISSA mengikut tempahan orang ramai. Alhamdulillah setakat ini sebahagian besar para pewakaf telah menyalurkan Waqaf Mushaf UNISSA ke luar negara.

Objektif waqaf ini dilaksanakan adalah untuk membuka ruang orang ramai yang ingin berwaqaf mushaf ke tempat-tempat yang memerlukan di dalam dan luar negara, sekaligus menjadikan UNISSA sebagai platfom bagi menguruskan waqaf mushaf ini.

Selain projek waqaf, UNISSA juga membukakan kepada orang ramai yang ingin memiliki mushaf ini dengan harga jualan sebanyak $20 senaskhah dan Mushaf ini boleh didapati di Unit Penerbitan Mushaf UNISSA serta di Kedai Buku UNISSA Press.

Adalah diharapkan Projek Waqaf Mushaf UNISSA ini mendapat keberkatan dan memudahkan orang ramai untuk menunaikan ibadah waqaf bagi meraih pahala yang berlipat ganda serta Mushaf ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.