MAJLIS PENUTUP PROGRAM PERINTIS PAKAR SEJARAH (PPSI)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

19 Julai 2022, Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Perintis Pakar Sejarah Intensif (PPSI) bagi pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Tuan Hanafi bin Haji Salleh, Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei. Majlis dimulai dengan bacaan doa selamat dan seterusnya ucapan kata alu-aluan daripada Yang Mulia Profesor Madya Dr Anis Malik Thoha, Pemangku Dekan Pengurusan Pembangunan Islam, UNISSA.
Program ini merupakan kolaborasi anjuran di antara Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, UNISSA dan Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Alumni (HEA) dan Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCEAN), UNISSA. Program ini terbahagi kepada dua modul, iaitu Program Perintis Pakar Sejarah Intensif (PPSI) dan Program Perintis Pakar Sejarah Berkala (PPSB). Program ini merupakan kali kelima diadakan bermula dari tahun 2018.
Program ini diwujudkan bertujuan untuk mendapatkan pengalaman dan melahirkan pakar sejarah yang hebat yang dapat membangun semangat belia-belia untuk mencintai sejarah. Selain itu, program ini secara langsung memberikan peluang kepada pelajar-pelajar UNISSA bergiat aktif di dalam aktiviti yang bermanfaat pada cuti semester. Program ini melibatkan pelajar-pelajar pra-siswazah dan siswazah dari Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dari Tahun 1 hingga Tahun 4 dan alummi UNISSA.
Penyaluran para mahasiswa dan mahasiswi ke Pusat Sejarah Brunei merupakan salah satu langkah yang sangat baik kerana mereka akan dapat memperolehi kemahiran dan mengetahui selok belok untuk menjadi seorang pakar sejarah secara “hands on”. Di samping itu, memupuk minat serta semangat para pelajar untuk menjadi belia yang mencintai sejarah.
Di Pusat Sejarah Brunei para mahasiswa dan mahasiswi tidak hanya mempelajari persejarahan secara teori tetapi juga secara praktikal. Kaedah metodologi penyelidikan seperti inilah yang menjadi garis panduan kepada para peserta program agar mempraktikkan apa yang dipelajari dengan lebih kreatif dan kritis.
Objektif Program ini antaranya ialah memperkenalkan dan mendedahkan para peserta kepada pembelajaran secara amali dan menambahkan ilmu pengetahuan di luar bidang pembelajaran masing-masing. Selain itu, ia juga bertujuan menjana kemahiran insaniah pelajar, iaitu kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran kepimpinan.
Penempatan Program Perintis Pakar Sejarah Intensif (PPSI) ini telah bermula pada 20 Jun 2022 hingga 19 Julai 2022. Program ini disertai oleh 6 orang mahasiswa/i dari UNISSA.
Di akhir majlis, acara Penyampaian Sijil kepada fasilitator telah disampaikan oleh Yang Mulia Profesor Madya Dr Anis Malik Thoha, manakala penyampaian sijil kepada peserta program telah disampaikan oleh Tuan Hanafi bin Haji Salleh.