MAJLIS PENUTUP PROGRAM KEM KEPIMPINAN PELAKU PEMBANGUNAN ISLAM SIRI KE-5 (K2P2I 5.0)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Selasa, 19 September 2023 – Program Kepimpinan Pelaku Pembangunan Islam Siri ke-5 (K2P2I 5.0) bagi mahasiswa-mahasiswi dan alumni Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi tahun 2023 hari ini telah melabuhkan tirainya di Majlis Penutup Program K2P2I 5.0. Majlis penutup dilangsungkan di Dewan Perkampongan Sukan Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut adalah Yang Mulia Ustaz Muhammed Sahrin Bin Haji Masri, Pemangku Dekan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam. Turut sama hadir ialah jemputan-jemputan khas iaitu Haji Mohd Marisswandi bin Haji Omar, Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Dr Norhazerah binti Baha, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta peserta-peserta program.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi K2P2I 5.0, Awang Muhd Nur Amir Zakwan bin Bungsu. Sejurus selepas itu, majlis diikuti dengan ucapan daripada Wakil Perserta K2P2I 5.0, Mohammad Aiman Daniel Bin Mohd Haffiz dan ucapan utama serta penghargaan daripada tetamu kehormat majlis.

Antara isi yang ditekankan dalam ucapan tetamu kehormat majlis adalah mengenai kemajuan sebuah negara yang sangat bergantung pada usaha bersama pemimpin, pentadbir, dan seluruh lapisan masyarakat. Begitu juga golongan belia yang memiliki peranan sebagai generasi penerus yang perlu memiliki kemahiran dan kebergunaan holistik. Selain itu, Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menyerukan pemimpin yang efektif untuk menangani isu-isu sosial. Oleh itu, mahasiswa dan mahasiswi di UNISSA, khususnya Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, perlu menjadi generasi muda yang holistik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai moral yang kukuh untuk membantu mencapai matlamat negara dan masa depan yang cerah.

Turut ditekankan juga akan pentingnya pendedahan dan aplikasi ilmu kepemimpinan Islam yang berlandaskan konsep Hablu Min Allah, Hablu Min al-Nas, dan Hablu Min al-’Alam kepada para peserta. Dengan mengambil contoh dari pemimpin Islam seperti Sayyidina Umar Al-Khattab, yang menjaga hubungannya dengan Allah, peduli terhadap kesejahteraan orang lain, dan memelihara lingkungan sekitar. Semua ini adalah sifat-sifat yang perlu ditanamkan dalam diri pemimpin muda Islam agar mereka dapat mencapai kejayaan sejati.

Majlis diteruskan dengan sebuah tayangan Video Selayang Pandang K2P2I 5.0 yang merangkumi segala aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang empat hari Program K2P2I 5.0 ini dijalankan. Kemudian, majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada wakil peserta K2P2I 5.0, dan juga penyampaian cenderahati kepada para jemputan khas yang telah menyertai acara ini.