MAJLIS PENUTUP MAHRAJAN BAHASA ARAB ANJURAN FAKULTI BAHASA ARAB, UNISSA, TAHUN 2023

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sabtu, 9 Mac 2024 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab (FBA) telah mengadakan Majlis Penghargaan dan Penyampaian Hadiah bagi Mahrajan (Karnival) Bahasa Arab bersempena dengan Hari Bahasa Arab Sedunia 2023 di Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Hadir selaku tetamu kehormat Majlis ialah Tuan Yang Terutama (TYT) Mohammed bin Abdullah Al-Buraithin, Duta Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam. Juga turut hadir perwakilan dari kedutaan Oman, pegawai-pegawai utama UNISSA, jemputan-jemputan khas, para peserta dan mahasiswa mahasiswi UNISSA.

Ketibaan TYT di perkarangan UNISSA disambut oleh Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA. Majlis telah dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah, Dekan Fakulti Bahasa Arab selaku Pengerusi Mahrajan. Di dalam ucapan tersebut beliau telah menekankan akan kepentingan mempelajari Bahasa Arab sejak kecil.

Majlis diserikan dengan tayangan video pertandingan-pertandingan yang telah diadakan sepanjang Mahrajan dan diikuti dengan persembahan-persembahan daripada para pemenang bagi beberapa pertandingan. Majlis diikuti dengan penyampaian hadiah serta sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Duta Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam.

Mahrajan Bahasa Arab ini diadakan secara tahunan oleh UNISSA melalui FBA. Pada kali ini ia telah dirasmikan pada 18 Disember 2023 dan pelbagai acara serta pertandingan telah berlangsung selama beberapa bulan seperti Pertandingan Penyampaian Syair Arab, Pertandingan Mari Bercerita dalam Bahasa Arab, Pertandingan Kaligrafi Arab, Pertandingan Mengenal Bahasa Arab bagi Pemula, Pertandingan Pidato Arab, Pertandingan Mau’izah Hasanah, Pertandingan Imlaa (Ejaan) dan bermacam lagi. Pertandingan-pertandingan ini dibukakan kepada berbagai peringkat pendidikan di dalam dan juga luar negara.

Antara objektif utama Mahrajan ini diadakan adalah untuk meraikan penutur Bahasa Arab serta mengangkat lagi kedudukan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam. Diharapkan dengan acara sebegini, akan dapat membantu dalam memartabatkan lagi kedudukan dan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pencinta Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.