MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA PUSAT PENYELIDIKAN HALALAN THAYYIBAN, UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI BERSAMA JABATAN HAL EHWAL SYARI’AH, KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Universiti Islam Sultan Sharif Ali diwakili oleh Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama yang diwakili oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah menandatangani dokumen memorandum persefahaman untuk rangka kerjasama dan kolaborasi dua hala dalam perkongsian ilmu, penyelidikan dan penerbitan, bengkel dan kursus serta penempatan kerja khususnya dalam bidang halal semata-mata bagi memperluaskan ilmu ke arah pemantapan dan pemerkasaan bidang halal di Negara Brunei Darussalam.

Penandatangan Memorandum Persefahaman tersebut disaksikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, Rektor, Universiti Islam Sultan Sharif Ali manakala memorandum persefahaman tersebut telah ditandatangani bersama oleh Pengiran Dr Hjh Norkhairiah binti Pengiran Hj Hashim, Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban bagi pihak UNISSA dengan Awang Hj Suhaimi bin Hj Gemok, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Syariah bagi pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Pengiran Dr Hjh Norkhairiah binti Pengiran Hj Hashim, Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban berperanan aktif dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berkemahiran dalam bidang sains halal berlandaskan prinsip-prinsip Islam yang juga dijangka bakal menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan industri halal tempatan. Menurutnya lagi, penandatangan memorandum persefahaman ini adalah merupakan satu potensi yang sangat besar untuk memperkembang dan melangkaui manfaat ekosistem upskilling dan reskilling disamping menghasilkan produk-produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Manakala Awang Hj Suhaimi bin Hj Gemok, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Syariah, dalam ucapan balas beliau antara lain menjelaskan bahawa kerjasama ini adalah relevan dan selaras dengan strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai salah satu iniasiatif kearah menjayakan dan menjamin persekitaran halal di Negara Brunei Darussalam. Beliau seterusnya berhasrat dengan kerjasama ini, UNISSA dan KHEU dapat memaksimumkan peluang ini dengan kelebihan masing-masing dalam menerokai perkembangan inovasi dalam sektor pembuatan dan perkilangan, kemajuan sains dan teknologi makanan, kajian-kajian akademik isu semasa halal dan fiqh muaasarah serta keyakinan terhadap pensijilan halal Brunei.

Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama merupakan salah sebuah organisasi yang sangat penting dan mempunyai peranan yang menjadi perhatian di Negara ini khasnya dalam bidang pengurusan dan pelaksanaan serta penguatkuasaan undang-undang halal. Menerusi piagamnya untuk mempromosikan pensijilan halal dan menyebarluaskan kesedaran tentang halal untuk kebaikan masyarakat, maka Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban juga menyatakan hasrat turut serta bergabung dan sama-sama menyumbang bagi memelihara dan mempertahankan integriti pensijilan halal Majlis Ugama Islam Brunei demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan Pembentangan Khas yang disampaikan oleh Profesor Madya To’ Puan Dr Nizaita binti Omar, Pensyarah Adjung, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Shari Ali dengan tajuk pembentangan, Memperkasakan Produk dan Industri Makanan Halal berteraskan Maqasid Shariah.

Turut hadir bagi menyaksikan penandatangan memorandum persefahaman tersebut adalah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Serudin bin Haji Timbang, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.