Rabu, 16 Mac 2022, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mempergiatkan lagi usaha menjalinkan jaringan hubungan kerjasama strategik bersama Institusi Pengajian Tinggi Republik Indonesia secara dalam talian. Majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISSA dan Universitas Medan Area (UMA), Indonesia telah diadakan pada hari ini secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, manakala bagi pihak Universitas Medan Area, Indonesia ditandatangani oleh Rektor universiti berkenaan Yang Mulia Prof. Dr. Dadan Ramdan.

Dalam ucapan alu-aluan Rektor UMA menjelaskan bahawa dengan penandatanganan MoU ini akan dapat mengembangkan dan menyebarluaskan lagi ilmu pengetahuan serta kepakaran yang di miliki oleh setiap universiti. Pengkajian dan penelitian dalam bidang akademik akan dapat dimanfaatkan bersama dalam menghasilkan lulusan yang inovatif dan professional.

Rektor UNISSA dalam ucapan hormat menyambut baik atas kepercayaan dan kesudian pihak UMA untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan UNISSA. Jalinan kerjasama ini merupakan platform untuk memperkembangkan syiar Islam di peringkat nusantara dan juga antarabangsa.

Penandatangan MoU ini juga akan diimplementasikan dalam bentuk kegiatan pertukaran pelajar, pertukaran tenaga akademik dan aktiviti-aktiviti kolaborasi seminar, penyelidikan dan penerbitan. UNISSA mengharapkan dukungan dan bantuan UMA untuk mengembangkan kerjasama khususnya dalam bidang Teknologi, Pertanian dan Kewangan Islam.

Turut hadir menyaksikan penandatangan MOU ini ialah Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Penolong-Penolong Rektor UNISSA, Pegawai-Pegawai Utama daripada ke dua universiti.