MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) DENGAN JAMIAH ASHRAFIA LAHORE PAKISTAN

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

16 September 2021, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus giat berusaha menjalinkan jaringan hubungan kerjasama strategik bersama Institusi Pengajian Tinggi luar secara dalam talian meskipun situasi pandemik Covid19 sedang melanda dunia ketika ini.

Satu Majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISSA dan Jamiah Ashrafia Lahore, Pakistan telah diadakan pada hari ini secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, manakala bagi pihak Jamiah Ashrafia Lahore, Pakistan ditandatangani oleh Yang Mulia Hafiz Fazal Ur-Rahim, Canselor Jamiah Ashrafia. Penandatangan MoU tersebut disaksikan sama oleh Mantan Pakar Perundangan Islam yang pernah berkhidmat di Negara Brunei Darussalam sejak tahun 1988 iaitu Yang Mulia Profesor Dato Seri Laila Jasa Prof. Dr. Anwarullah.

Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh wakil setiap Institusi masing-masing. Mewakili pihak UNISSA, pembacaan al-Quran disampaikan oleh Awang Muhammad Firdaus bin Haji Sait, Mahasiswa daripada Fakulti Teknologi Islam, UNISSA dan mewakili pihak Jamiah Ashrafia ialah Muhammad Saeed Ahmad Anayatullah.

Dalam ucapan alu-aluan Canselor Jamiah Ashrafia menceritakan tentang penubuhan awal universiti berkenaan yang merupakan institusi pendidikan Islam tertua yang terletak di Lahore, Republik Pakistan. Mula ditubuhkan pada bulan September 1947 dan diasaskan oleh Maulana Mufti Muhammad Hassan sejurus selepas kemerdekaan Pakistan. Sejak penubuhannya, ia telah menjadi pusat pendidikan Islam yang utama di Pakistan yang mementingkan pendidikan dengan semangat dakwah dan nilai-nilai Islam.

Sehubungan itu, pihak Jamiah Ashrafia melihat adanya keserasian dengan UNISSA dalam pengukuhan agama Islam dan berharap MoU yang termeterai ini merupakan platform untuk memperkembangkan  syiar Islam di merata dunia.

Dr Haji Norarafan bin Haji Zainal dalam ucapan hormat beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan kesudian pihak Jamiah Ashrafia untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan UNISSA.

Dengan termeterainya Penandatanganan MoU antara kedua universiti ini akan berpeluang mencapai tujuan ke arah perancangan-perancangan kolaborasi yang bermanfaat seperti aktiviti dan program penyelidikan, pengajian dan pendidikan ilmiah, pertukaran pelajar serta penerbitan bahan-bahan ilmiah daripada tenaga professional UNISSA dan Jamiah Ashrafia.

Turut hadir menyaksikan penandatangan MOU ini, Wakil Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Islamabad, Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Penolong-Penolong Rektor UNISSA, Pegawai-Pegawai Utama serta perwakilan daripada Jamiah Ashrafia.