MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM PERJANJIAN FAKULTI EKONOMI DAN KEWANGAN ISLAM, UNISSA DENGAN ISLAMIC BANKING AND FINANCE INSTITUTE OF MALAYSIA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

18 Ogos 2021 – Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Perjanjian (Memorandum of Agreement) bersama Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) hari ini. Majlis penandatanganan memorandum tersebut telah berlangsung secara maya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr Arman bin Haji Asmad, Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan FEKIm UNISSA, Encik Yusry bin Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, para Pensyarah FEKIm UNISSA dan Pegawai-Pegawai Kanan serta Ahli Lembaga Pengarah IBFIM.

Majlis tersebut telah disaksikan oleh Tuan Yang Terutama, Yang Mulia Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam yang baharu dan Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Ustaz Haji Sammali bin Haji Adam, Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa (PUSPAA), UNISSA. Diikuti dengan lagu kebangsaan dari kedua-dua buah negara; Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. Tayangan Montaj juga turut dipertontonkan yang memberi gambaran menyeluruh tentang perjalanan awal bermulanya kolaborasi antara FEKIm UNISSA dan IBFIM sehinggalah detik majlis penandatanganan memorandum berlangsung.

Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan FEKIm UNISSA dalam Ucapan Alu-Aluannya menjelaskan bahawa tujuan teras penandatanganan memorandum tersebut ialah untuk mempromosi dan mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak iaitu UNISSA dengan IBFIM dan mempertingkatkan prestasi pelajar dalam bidang pendidikan Kewangan Islam di UNISSA, di samping mempromosikan kerjasama dan kolaborasi dalam bidang pendidikan dan latihan di bawah program Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF) yang ditawarkan oleh IBFIM atas dasar timbal balik dan saling menguntungkan kepada kedua-dua pihak. Perjanjian tersebut akan berkuatkuasa untuk tempoh tiga tahun.

Selain itu, beliau juga menekankan bahawa penandatanganan memorandum ini merupakan salah satu langkah penting dan usaha berkesinambungan yang sangat signifikan dalam membangun kapasiti sumber tenaga manusia yang berilmu pengetahuan, berkepakaran, kompeten dan siap siaga menghadapi dan menangani cabaran dan perkembangan Kewangan Islam di abad ke-21 serta berupaya memacu pertumbuhan, perkembangan, dan pemerkasaan eko-sistem kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam. Hal ini dilihat sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai salah sebuah pusat kewangan Islam bertaraf antarabangsa.

Menghimbau kembali sejarah perkembangan hubungan kerjasama antara UNISSA dan IBFIM, ianya bermula dengan satu proses pemetaan program (programme mapping) antara Program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam yang ditawarkan oleh FEKIm UNISSA dengan AQIF yang ditawarkan oleh IBFIM yang dilakukan pada tahun 2017. Hasil proses penilaian telah mendapati kandungan kursus Program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam adalah menepati dan memenuhi kriteria pensijilan AQIF. Para graduan dari program tersebut yang memenuhi syarat yang ditetapkan telah diiktiraf dan diberi pengecualian penuh AQIF oleh IBFIM. Seramai sembilan orang graduan dari Program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam FEKIm UNISSA telah menerima sijil AQIF mereka pada Majlis Hafl al-Takharruj (Majlis Konvokesyen) UNISSA ke-10, pada tahun 2020 yang disempurnakan penyampaiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA.

Pada tahun ini pula, seramai 10 orang lagi calon graduan Program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam FEKIm UNISSA dijangka akan menerima sijil AQIF mereka. Penganugerahan AQIF kepada graduan-graduan ini adalah satu pencapaian kecemerlangan akademik, pengikitirafan institusi latihan profesional antarabangsa dan penanda aras penting terhadap kualiti kurikulum kursus perbankan dan kewangan Islam yang meletakkan UNISSA sebaris dengan Institusi Pengajian Tinggi ternama di Malaysia.

Pada tahun ini pula, satu proses penilaian kompetensi tenaga akademik UNISSA sebagai Pelatih Bertauliah AQIF di Negara Brunei Darussalam telah pun dilakukan oleh pihak IBFIM dan mengesahkan tiga orang daripada tenaga akademik FEKIm UNISSA telah memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai Pelatih Bertauliah AQIF dan proses pemindahan kredit telah pun sempurna dilakukan. Hasil penilaian ini menunjukkan bahawa tenaga akademik yang ada di UNISSA adalah terdiri daripada mereka yang profesional dan kompeten untuk menyediakan pakar-pakar Kewangan Islam di dalam negeri, tambah Dekan FEKIm UNISSA dalam ucapannya.

Menandatangani bagi pihak FEKIm UNISSA ialah Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Dekan FEKIm UNISSA dan Encik Yusry bin Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif, bagi pihak IBFIM.

Majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian diakhiri dengan sesi bergambar ramai.