MAJLIS PEMBUKAAN MAHRAJAN BAHASA ARAB 2023 BERSEMPENA TAHUN BAHASA ARAB SEDUNIA DAN PERTANDINGAN DEKLAMASI PUISI ARAB DAN HURAIANNYA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Bandar Seri Begawan: 18 Disember 2023 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Bahasa Arab telah mengadakan Majlis Pembukaan Mahrajan (Festival) Bahasa Arab 2023 bersempena Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia yang disambut pada 18hb Disember setiap tahun. Tahun ini Majlis Pembukaan Mahrajan tersebut diserikan dengan Pertandingan Deklamasi Puisi Arab dan Huraiannya bagi menyokong Sambutan Tahun Puisi Arab 2023. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah, Dekan Fakulti Bahasa Arab, UNISSA.

Di dalam ucapan perasmian, Dekan Fakulti Bahasa Arab, UNISSA menyatakan bahawa antara tujuan penganjuran Mahrajan Bahasa Arab ini adalah untuk mencipta persekitaran Bahasa Arab yang dihasratkan untuk memperkuat minat pelajar dalam bahasa Arab, selain meningkatkan keyakinan mereka dalam berkomunikasi menggunakan Bahasa Arab dan mengembangkan kemahiran bahasa tersebut. Selain itu, Mahrajan Bahasa Arab ini juga bertujuan untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tentang kepentingan Bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran, bahasa ibadah, bahasa ilmu, dan bahasa peradaban. Salah satu matlamat lainnya adalah untuk mencapai aspirasi ‘Negara Zikir’ dengan menyokong penggunaan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

Bagi sambutan tahun ini, pelbagai pertandingan akan diungkayahkan yang menyasarkan penyertaan pelbagai pihak sama ada di peringkat universiti, sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah agama, sekolah-sekolah kerajaan dan swasta serta orang ramai. Selain itu, ianya juga menyasarkan penyertaan universiti-universiti luar negara, antaranya Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura. Antara pertandingan lain yang akan diungkayahkan ialah pertandingan Khat yang dibukakan penyertaannya kepada orang awam, pertandingan Imla, pertandingan Bicara Berirama dan sebagainya.

Bagi Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia pada peringkat antarabangsa pula, UNISSA telah menyertai Nadwah Antarabangsa bersempena Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2023. Nadwah dengan tema “Isu-Isu Terkini Dalam Perkembangan Pengajian Bahasa Arab Bagi Bukan Penutur Bahasa Arab Di Asia Tenggara” ini dikendalikan oleh Universiti Narathiwat, Selatan Thailand. UNISSA telah diwakili oleh YM Dr Muhammad Alif bin Haji Sismat, Pengarah Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik.

Mahrajan Bahasa Arab 2023 ini akan diadakan secara berterusan sehingga bulan Syaaban 1445H, yang telah diistyiharkan sebagai Bulan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.