Majlis Pelantikan dan Watikah MPPUNISSA 2023/2024 & Penghargaan bagi MPPUNISSA 2022/2023

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Khamis, 15 Jun 2023– Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah mengadakan Majlis Pelantikan dan Watikah bagi Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2023/2024 & Penghargaan bagi Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2022/2023 di Gardens’ Veranda, Rimba Gardens Central.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis serta menyampaikan  Amanat ialah  Yang Mulia Rektor UNISSA,  Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal. Seramai 22 orang pelajar yang terdiri dari 7 orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan 15 orang Ahli Jawatankuasa Eksekutif menerima surat lantikan jawatan di dalam Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2023/2024. Manakala, 19 orang menerima sijil penghargaan bagi khidmat mereka sepanjang lantikan sebagai  Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2022/2023. Menyandang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2023/2024 ialah Muhammad Firdaus Bin Sait, mahasiswa Tahun 2, Sarjana Muda Teknologi Islam.

Antara intisari amanat Yang Mulia Rektor UNISSA adalah agar Majlis Perwakilan Pelajar akan menanai tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sentiasa mengamalkan  sifat-sifat murni seperti sepertimana di dalam firman Allah Surah Al-Qashah ayat 26 yang tafsirannya:“Sesungguhnya manusia terbaik yang anda tunjuk untuk bekerja adalah orang yang kuat dan amanah.” Ke arah membantu barisan kepimpinan pelajar baru ini untuk bersedia menghadapi cabaran serta rintangan dalam arena kepimpinan, pentadbiran dan pengurusan, ahli-ahli MPP akan dipersiapkan dengan kursus ketahanan rohani, mental dan fizikal di samping kursus induksi pentadbiran dan pengurusan.

YM Rektor juga menasihatkan agar  ahli-ahli MPP untuk sentiasa bijak mengurus masa dalam menjalankan tanggungjawab akademik serta tugasan persatuan; bersikap proaktif dalam penganjuran program dan aktiviti-aktiviti, terutama sekali yang  memberi impak signifikan kepada kemajuan pembangunan pelajar UNISSA, masyarakat dan negara. Pelajar juga diseru untuk sentiasa peka dan responsif dengan isu-isu kontemporari.

YM Rektor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Majlis Perwakilan Pelajar atas usaha dan komitmen yang telah diberikan selama menggalas tanggungjawab mereka sebagai perwakilan pelajar.