MAJLIS KHATAM AL-QUR’AN SEMPENA HAFL AL-TAKHARRUJ KE-11, UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Khamis, 20 Januari 2022 – Seramai 234 orang bakal graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) diraikan dalam Majlis Khatam Al-Qur’an dan Doa Kesyukuran sempena Hafl Al-Takharruj ke-11 yang berlangsung di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Majlis khatam Al-Qur’an dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas oleh bakal graduan UNISSA.

Acara kemudian diikuti dengan bacaan Takhtim oleh mahasiswa dan mahasiswi universiti berkenaan dan disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Luqmanul Hakeem bin Haji Rozaini, graduan Program Sarjana Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm).

Kemudian acara diserikan dengan laungan Dikir Marhaban dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena para graduan menamatkan pengajian di UNISSA yang dibacakan oleh Awang Muhammad Nazirul Azizan bin Bahren, graduan Program Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah.

Turut hadir bagi meraikan majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, Rektor UNISSA selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Hafl Al-Takharruj ke-11 UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Penolong-Penolong Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, pegawai-pegawai serta kakitangan UNISSA.

Majlis berkenaan merupakan salah satu acara tradisi tahunan yang diungkayahkan bagi menyemarakkan Sambutan Hafl Al-Takharruj UNISSA.

Antara lain tujuan majlis diadakan ialah untuk membudayakan pembacaan Al-Qur’an di kalangan para mahasiswa dan mahasiswi selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Di samping bagi menggalakkan penglibatan para mahasiswa dan mahasiswi dalam aktiviti keagamaan agar dijadikan sebagai amalan harian.