MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN DOA KESYUKURAN SEMPENA HAFL AL-TAKHARRUJ KE -12 UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Seramai 318 orang graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) diraikan dalam Majlis Khatam al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Hafl al-Takharruj ke-12 yang berlangsung di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada hari Sabtu, 20 Ogos 2022M, jam 9.00 pagi.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh.

Majlis Khatam al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah yang dipimpin oleh Muaz Azizi bin Haji Shamshir, graduan Program Sarjana Muda Usuluddin (Tahfiz & Qira’at) dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah ad-Dhuha hingga Surah an-Naas oleh graduan UNISSA beramai-ramai.

Acara kemudian diikuti dengan bacaan Takhtim oleh mahasiswa UNISSA dan disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Abdul Hafiz bin Haji Abd. Kadiroshman, graduan Program Sarjana Muda Syariah (Fiqh & Kehakiman).

Kemudian acara diserikan dengan laungan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Kesyukuran UNISSA yang dipimpin oleh Awang Ahamd Syafiee bin Aim, graduan Program Sarjana Muda Usuluddin.

Turut hadir bagi meraikan majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Penolong-Penolong Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, Timbalan-Timbalan Dekan/Pengarah serta ibu bapa/penjaga graduan.

Majlis berkenaan merupakan salah satu acara tradisi tahunan yang diungkayahkan bagi menyemarakkan Sambutan Hafl al-Takharruj UNISSA.

Antara lain tujuan majlis diadakan ialah untuk membudayakan pembacaan al-Quran di kalangan para mahasiswa dan mahasiswi selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Di samping bagi menggalakkan penglibatan para mahasiswa dan mahasiswi dalam aktiviti keagamaan agar dijadikan sebagai amalan harian.