MAJLIS AMANAT DAN IKRAR PELAJAR-PELAJAR TAHUN 1 SESI PENGAJIAN 2022/2023

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

25 Julai 2022, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hari ini telah mengadakan Majlis Amanat & Ikrar Pelajar-Pelajar Tahun 1, UNISSA sesi pengajian 2022/2023 sebagai bermulanya Minggu Ta’aruf di Dewan Kuliah Kem latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu Kehormat Majlis ialah Rektor UNISSA Yang Mulia Dr Haji Norafan bin Haji Zainal.

YM Rektor dalam Ucapan Amanat mengingatkan kepada para pelajar agar memahami serta menghayati apa yang terkandung dalam ikrar yang akan dilafazkan untuk menjadi pelajar yang cemerlang, dan mampu memberikan khidmat dengan sepenuh hati serta ikhlas mencurah bakti kepada pembangunan dan kemajuan agama, bangsa dan negara.

YM Rektor juga menyeru kepada pelajar agar memahami dengan baik tugas sebagai seorang pelajar yang mana pelajar itu sifatnya menuntut ilmu untuk mengisi dada dan mencari sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran yang berguna untuk kegunaan di masa hadapan terutamanya dalam menentukan hala tuju kehidupan setelah keluar dari universiti.Semua persiapan berkenaan bermula sekarang dan persiapan itu tidak boleh menunggu sehingga hari penerimaan sijil sebagai graduan kelak.

Seorang pelajar jika hendak berjaya hendaklah melazimkan diri dengan usaha dan doa tegas YM Rektor. Dua perkara ini sangat penting dalam menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Usaha adalah tangga kejayaan, manakala doa pula adalah senjata bagi orang-orang mukmin.

Terdahulu sebelum itu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Dekan Pelajar UNISSA Yang Mulia Dayang Nurhafizatulhikmah binti Haji Serbini selaku pengerusi majlis.

Pelajar Tahun 1 UNISSA akan berada di Kem Latihan PKBN ini selama 5 hari dan 4 malam untuk mengikuti Minggu Ta’aruf dengan beberapa pengisian program bermanfaat yang bertujuan untuk memandu atau membimbing pelajar-pelajar sebelum memulakan pengajian di UNISSA.

Taklimat induksi yang diberikan termasuk berkenaan proses akademik, program pengajian, kursus-kursus wajib university, serta berkenaan kemudahan-kemudahan pembelajaran dan program ko-kurikulum yang disediakan untuk pelajar.

Selain itu, pelajar juga akan mengikuti pelbagai aktiviti keugamaan, motivasi, kesihatan mental, kepimpinan dan kemasyarakatan untuk pembangunan jati diri. Program khidmat masyarakat pada tahun ini akan mengambil tempat di pelbagai tempat di ke empat-empat daerah.

Antara objektif penting yang ingin dicapai dalam minggu ta’aruf ini ialah untuk memperkenalkan pelajar baru dengan aspek-aspek penting kehidupan sebagai seorang pelajar di UNISSA. Antaranya ialah menghayati hidup berugama, sahsiah yang cemerlang, kepimpinan dan kemasyarakatan.

Di samping itu, minggu ta’aruf juga amat menekankan pembangunan kemahiran interaksi pelajar, dengan mengambil kira bahawa pelajar UNISSA datang dari latar belakang sosial dan latar belakang akademik yang berbeza. Keramaian kemasukan pelajar UNISSA bagi sesi tahun 2022/2023 ini ialah seramai 459 orang, iaitu 365 pelajar dalam program Prasiswazah; dan 94 orang pelajar dalam program siswazah. Lebih kurang 12 peratus dari jumlah tersebut adalah dari kalangan pelajar antarabangsa.

Bacaan Ikrar pelajar baru diketuai oleh Awang Saifuddin Safwan bin Said, mengikuti Program Sarjana Muda Sains Halal, Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh Penolong-Penolong Rektor dan Pegawai-Pegawai Utama UNISSA.

w