MAHRAJAN HAFL AL-TAKHARRUJ KE-12 (MHT) UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

16 Ogos. – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-12 UNISSA.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, selaku Pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-12 UNISSA.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian dan seterusnya menandatangani plak perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-12 UNISSA.

Sejurus selepas itu, DYTM berkenan berangkat menyaksikan galeri Pameran Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA di Ruang Legar.

Pameran kali ini adalah mencerminkan maksud tema Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-12 tahun iaitu “Teknologi Islam Memacu Pembangunan Ummah”.

Pemilihan tema tersebut adalah untuk menonjolkan usaha UNISSA untuk menjadikan universiti ini sebuah universiti yang peka dengan perkembangan terkini dalam era digital dari segi perkhidmatan, pengajaran dan pembelajaran di samping memberi sumbangan kepada masyarakat.

Tema ini juga bertepatan dengan Penubuhan Fakulti Teknologi Islam yang telah diperkanankan penubuhannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Hafl Al-Takharruj ke 10 yang akan membekalkan para pelajar dengan kemahiran Revolusi Industri 4.0 serta melahirkan para graduan yang dapat membantu negara mencapai Wawasan 2035.

Antara pameran yang diberigakan ialah mengetengahkan kaedah atau metodolgi penggunaan teknologi dalam urusan perlaksanaan ibadah, dakwah, pengajaran, urusan kewangan dan sebagainya.

DYTM juga menyaksikan projek Aplikasi Mushaf UNISSA yang mana aplikasi ini ialah di bawah Projek Mushaf UNISSA Digital iaitu kesinambungan projek penulisan Mushaf UNISSA yang ada masa ani. Di samping itu juga Projek Digital ini diusahakan bagi menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam bagi mempercepatkan pengukuhan transformasi digital.

DYTM seterusnya berkenan merasmikan Pelancaran Buku-buku Terbaharu Terbitan UNISSA dan melancarkan Open Journal System (OJS).

Tahun ini UNISSA telah berjaya menerbitkan 28 buah buku dalam pelbagai bidang hasil tulisan beberapa orang penulis tempatan dan luar negara. Sebanyak dua belas (12) buah buku dalam Bahasa Melayu, lapan (8) buah dalam Bahasa Inggeris dan empat (4) buah dalam Bahasa Arab. Di samping itu, sebanyak enam (6) buah jurnal telah diterbitkan.

Buku-buku yang diterbitkan oleh UNISSA Press pada tahun ini meliputi pelbagai bidang antaranya syariah, undang-undang, halal, pendidikan Islam dan pengurusan Islam.

DYTM berkesempatan berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama graduan cemerlang dan tenaga akademik yang baharu berkhidmat di UNISSA.

Sebelum berangkat balik meninggalkan majlis berkenaan, YM Rektor UNISSA telah menyembahkan pesambah ke hadapan majlis DYTM berupa U-ROV (underwater remote operated vehicle).

Pada tahun ini, UNISSA memulakan kembali sambutan Mahrajan Hafl Al-Takharruj (MHT) setelah beberapa tahun sebelumnya ditiadakan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Tahun ini, MHT dikendalikan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Fakulti Teknologi Islam (FTI).

MHT12 ini diadakan adalah bagi memeriahkan lagi Majlis Hafl Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang pada lazimnya diadakan setiap tahun bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka di UNISSA. MHT12 ini juga adalah untuk memertabatkan UNISSA selaku institusi pendidikan Tinggi Islam yang mampu bersaing dalam era digital dan menyerlahkan peranan pelajar UNISSA dalam kalangan masyarakat Brunei Darussalam.

Sepanjang Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-12 UNISSA, Taklimat Kerjaya dan Bengkel akan diadakan di samping Jualan Bazar Jaya juga dibukakan kepada kunjungan orang ramai bermula 16 Ogos 2022 hingga 18 Ogos 2022 pada jam 8.00 Pagi hingga 4.30 petang bertempat di Dewan Delima.