LAWATAN KERJA UNIT PENDIDIKAN KERJAYA & GURU KERJAYA SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH, MAKTAB SAINS DAN PTE KE KAMPUS SINAUT

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalal Thayyiban, UNISSA yang berpusat di Kampus Sinaut, Tutong telah memerima lawatan dari lebih 90 orang pegawai-pegawai dan guru-guru daripada Unit Pendidikan Kerjaya, Sekolah-sekolah Menengah, Maktab Sains dan Pusat Tingkatan Enam hari ini. Lawatan bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program yang ditawarkan oleh Fakulti dan Pusat di Kampus Sinaut.

Pembentangan mengenai program-program telah disampaikan masing-masing oleh Yang Mulia Dayang Anisah Syakirah Anwari, Ketua Program Pra Siswazah Fakulti Pertanian dan Yang Mulia Dayang Dr Siti Nur Idayu Haji Mastusin, Ketua Program Pra Siswazah Pusat Penyelidikan Halalal Thayyiban.

Fakulti Pertanian yang ditubuhkan pada Januari 2021 pada masa ini menawarkan beberapa termasuk Program AgriBridge, Program Sarjana Muda Pertanian (Agribisns), Program Sarjana Muda Pertanian (Agroteknologi), Program Sarjana Pertanian (Agribisnes) (secara kajian), Program Sarjana Sains Pertanian (secara kajian) dan Program Doktor Falsafah. Terbaharu Program Siswazah dalam bidang Akuakultur akan mula ditawarkan pada Januari 2024, manakala Program Sarjana Muda Pertanian (Akuakultur) akan bermula pada Ogos 2024.

Program-program yang ditawarkan oleh Fakulti Pertanian telah dirangka dengan input pakar-pakar dari dalam dan luar negara, pihak industri dan Jabatan-jabatan kerajaan Negara Brunei Darussalam termasuk pihak-pihak dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, agar ianya sentiasa selari dan relevan dengan keperluan masa kini. Kaedah pembelajaran yang terterapkan adalah berasaskan pembelajaran di dalam dan di luar kelas bagi memberi pendedakan secara praktikal kepada pelajar-pelajar.

Pembentangan ringkas berkenaan dengan Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina juga disampaikan bagi memberi pencerahan mengenai kemudahan-kemudahan dan fasilitas makmal yang terdapat di Kampus Sinaut bagi mendukung kokurikulum akademik mahupun kajian yang memerlukan praktikal makmal dan kajian saintifik.

Lawatan kerja diteruskan dengan meninjau prasarana-prasarana yang terdapat di Kampus Sinaut termasuk Makmal Saintifik,  Rumah Herba, Kolam Akuakultur, Ladang Agronomi, Dapur Inovasi Halal.