LAWATAN AKADEMIK FAKULTI PERTANIAN KE HASMIT ENTERPRISE

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

BATONG, 12 MEI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Pertanian telah mengadakan lawatan akademik ke ladang sawah padi dan ladang ternakan kambing milik Hasmit Enterprise.

Rombongan seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada 14 orang pelajar tahun satu Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Agribisnis), 6 orang pensyarah dan 5 orang kakitangan Fakulti Pertanian, UNISSA telah menyertai program lawatan tersebut.

Tujuan lawatan adalah untuk memupuk nilai-nilai kerjasama dan saling bantu-membantu sesama sendiri dan juga komuniti, di samping memberikan pendedahan, membina pengalaman dan kemahiran kepada pelajar dalam bidang pertanian dan penternakan haiwan selaras dengan modul pembelajaran mereka iaitu Agronomy and Animal Husbandry.

Di sebelah pagi, lawatan bermula di sawah padi, di mana rombongan peserta telah diberikan taklimat ringkas mengenai tatacara menanam padi. Para peserta seterusnya berpeluang memberikan khidmat sambil belajar menanam padi secara tradisional menggunakan tangan dan secara moden menggunakan mesin jentera penanam padi (paddy transplanter). Tiga jenis padi yang diusahakan di sini adalah MRQ76, Sembada 188 dan Titih.

Para peserta bekerjasama menanam padi secara manual
Peserta menggunakan mesin jentera penanam padi (paddy transplanter)

Pada sebelah petang pula, rombongan dibawa ke ladang ternakan kambing syarikat. Di sana, para peserta berkesempatan melihat dan mempelajari cara-cara pengurusan ladang kambing. Selanjutnya, para peserta diberikan penerangan mengenai pemprosesan susu kambing segar yang bertempat di ladang berkenaan.

Ladang padi Kampung Wasan merupakan destinasi terakhir bagi lawatan rombongan ini, di mana para peserta dapat melihat tanaman padi milik syarikat yang sudah mencapai usia satu bulan.

Melihat kepada hasil baik yang diperolehi daripada program ini, ianya diharapkan dapat memupuk minat peserta untuk menceburi bidang pertanian di samping meningkatkan hubungan, pemahaman dan pengetahuan pelajar-pelajar mengenai industri penanaman padi dan penternakan di Negara Brunei Darussalam. Ianya juga diharapkan dapat memberikan impak positif kepada peserta-peserta dari segi pendedahan terhadap kegiatan keusahawanan. Pengarah Hasmit Enterprise telah mengongsikan pengalaman beliau dalam memulakan usaha penanaman padi. Aktiviti khidmat masyarakat para pelajar Fakulti Pertanian ini juga memberi pengalaman kerja berpasukan dan kemahiran bertani dalam usaha untuk melahirkan generasi belia yang berwawasan.