KUNJUNGAN ROMBONGAN PEGAWAI DARI KESULTANAN OMAN

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

26 Julai 2022 , Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini telah menerima kunjungan rombongan pegawai dari Kesultanan Oman diketuai oleh Dr. Saeed bin Saif Al Ameri, Penasihat kepada Menteri Pendidikan bagi Pendidikan Media dan Ketua Pejabat Menteri Pendidikan, Kesultanan Oman bersama Mr. Hamed Al-Rajibi, Penyelaras Program Tadreeb Al-Mu’allim dan Ketua Jabatan Pembangunan Kurikulum Bahasa Arab.

Mengalu-alukan kunjungan tersebut ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.

Yang Mulia Rektor menyambut baik kehadiran rombongan delegasi tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama padu yang diberikan daripada Kesultanan Oman khususnya dalam memperkasakan lagi penguasaan Bahasa Arab kepada bukan penuturnya.

UNISSA sejak tahun 2015 lagi telah mempunyai hubungan strategik yang rapat dengan Kesultanan Oman khususnya dengan Fakulti Bahasa Arab. Jalinan hubungan ini diperkukuhkan lagi dengan tertubuhnya “Oman Publication Corner” yang ditempatkan di Perpustakaan UNISSA. Begitu juga, UNISSA telah menghantar beberapa orang pelajar mengikuti program kursus pendek di Sultan Qaboos College dan Kursus Pengajian Setahun di Luar Negeri di Sultan Qaboos University dalam bidang akademik pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Walau bagaimanapun, penghantaran pelajar tersebut terhenti disebabkan situasi dunia yang dilanda oleh pendemik Covid19 dan UNISSA berharap penghantaran pelajar ke Kesultanan Oman ini akan dapat diteruskan lagi.

UNISSA dan Kedutaan Kesultanan Oman Di Negara Brunei Darussalam pernah bekerjasama mengadakan Perkhemahan Bahasa Arab Serantau Pertama sempena sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia yang melibatkan penyertaan daripada luar negara.

Antara tujuan lawatan ini adalah untuk meneroka dan memperkembangkan lagi kerjasama yang akan dilaksanankan khususnya program-program yang ditawarkan oleh pihak UNISSA.

Sesi perbincangan telah diadakan antara pihak UNISSA dan rombongan.

Hadir sama dalam perjumpaan tersebut ialah Penolong-Penolong Rektor, Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Pegawai-Pegawai Unit Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bil Madaris Al-‘Arbiah, Pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Di akhir kunjungan, Yang Mulia Rektor telah menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada Ketua Rombongan.